Allahuakbar, khabar dukacita buat seluruh umat Islam.
Masjid al-Aqsa, masjid suci umat Islam sedang diserang dan dinodai lagi oleh rejim Zionis yang kejam saat kita sedang berada dalam bulan Ramadan yang mulia.
Tiada langsung rasa belas, tiada langsung peri kemanusiaan. Tak mampu rasanya menahan hiba dan sebak saat melihat gambar-gambar yang terpapar di media sosial.
Tentera Zionis laknatullah bukan sahaja mengepung orang Islam yang sedang bersolat terawih di dalam masjid, bahkan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah turut dilepaskan kepada mereka.
Tidak sedikit orang Islam yang cedera, malahan angka mereka mencecah ratusan. Bukan sekadar itu, ramai antara mereka yang telah syahid bertemu Allah.
Kronologi Serangan Ke Atas Masjid al-Aqsa:
1. Awal pagi 26 Ramadan, kita dikejutkan dengan khabar bahawa Masjid al-Aqsa telah diserang rejim Zionis saat ramai rakyat Palestin sedang menunaikan solat tarawih. Pencerobohan ini telah cuba dihalang oleh rakyat Palestin sehingga menyebabkan lebih 200 orang mengalami kecederaan.
2. Gas pemedih mata dan tembakan dilepaskan kepada jemaah yang sedang beribadah dan beriktikaf di dalam masjid.
3. Pencerobohan yang amat biadap ini sebenarnya adalah ‘latihan’ untuk rejim Zionis mengukur keupayaan senjata dan ketenteraan mereka. Serangan besar-besaran dijangka akan dilancarkan pada 28 Ramadan kerana tarikh tersebut merupakan ‘Hari Jerusalem’ orang-orang Yahudi.
4. Rejim Zionis kononnya hendak memberi ugutan buat umat Islam Palestin supaya tidak pergi beribadah di Masjid al-Aqsa pada Hari Jerusalem tersebut. Bahkan, mereka juga menyekat laluan masuk ke Baitul Maqdis tahun ini sehingga menyebabkan hanya 70,000 jemaah sahaja dapat dibenarkan masuk berbanding 250,000 orang jemaah sebelum ini.
5. Bas-bas yang membawa umat Islam untuk memasuki Baitul Maqdis dihalang oleh rejim Zionis. Namun, rakyat Palestin tetap nekad untuk meneruskan perjalanan walaupun hanya dengan berjalan kaki. Semangat mereka sangat kuat kerana mereka ingin beriktikaf di Masjid al-Aqsa pada malam 27 Ramadan.
6. Provokasi dan serangan Zionis malam kelmarin gagal menghalang puluhan ribu rakyat Palestin untuk membanjiri Masjid al-Aqsa. Bahkan jumlah yang hadir sekitar 90,000 orang dan ia dikatakan jumlah yang terbesar berbanding malam-malam sebelum ini.
7. Malahan, terdapat sekumpulan yang digelar murabitun dan murabitat al-Aqsa iaitu lelaki dan wanita yang berkunjung ke Masjid al-Aqsa secara berjadual untuk melindunginya daripada pencerobohan oleh polis Zionis dan kumpulan ekstremis Yahudi.
8. Mereka ini tidak akan berganjak daripada mempertahankan masjid suci umat Islam.
9. Apa pun perjuangan masih belum selesai. Malam ini akan menjadi satu lagi ujian besar menjelang perayaan Yahudi, Hari Jerusalem pada hari Isnin (28 Ramadan).
Tuan Puan,
Dengan bulan Ramadan yang masih berbaki beberapa hari lagi ini, marilah bersama perbanyakkan membaca Qunut Nazilah.
Panjatkanlah doa sungguh-sungguh kepada Allah SWT agar saudara-saudara seIslam kita di tanah Palestin yang kita cinta terpelihara daripada sebarang perbuatan terkutuk tentera Zionis.
Cara-cara membaca Qunut Nazilah:
1. Disunatkan untuk dibaca secara kuat sama ada di dalam solat al-sirriyyah (bacaan solat yang dibaca secara perlahan) seperti Solat Zohor dan Asar atau solat al-jahriyyah (bacaan solat yang dibaca secara kuat) seperti solat Subuh, Maghrib dan Isya’.
2. Qunut Nazilah disyariatkan di dalam solat-solat fardu sahaja dan tidak pada solat-solat sunat.
3. Boleh dibaca di dalam solat fardu secara berjemaah mahupun di dalam solat bersendirian. Jika dibaca dalam solat berjemaah, imam perlu membacanya dengan suara yang kuat dan makmum mengaminkannya. Jika dilakukan secara bersendirian, maka ia perlu dibaca secara perlahan.
4. Dibaca pada rakaat yang terakhir, semasa I’tidal, selepas bangun dari rukuk.
5. Disunatkan mengangkat kedua tangan semasa berdoa.
Bacaan Qunut Nazilah:
اَللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِ أَعْدَائِنَا وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباً مِنْ كِلَابِكَ
يَاقَهَّارُ يَاجَبَّارُ يَامُنْتَقِيمُ يَااَللَّهُ يَااَللَّهُ يَااَللَّهُ
اَللَّهُمَّ يَامُنْزِلَ الْكِتَابِ وَيَامُجْرِيَ السَّحَابِ
وَيَاهَازِمَ اْلأَحْزَبِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya kami letakkan Engkau dibatang leher musuh-musuh kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka, Ya Allah leburkan kumpulan mereka, kacau bilaukan kesatuan mereka, cerai-beraikan pakatan mereka, goncangkan pendirian mereka, hantarkan anjing-anjing-Mu ke atas mereka, Wahai Tuhan yang gagah perkasa, Wahai Tuhan yang bersifat murka.
Ya Allah Ya Allah Ya Allah.
Wahai Tuhan yang menurunkan al-Quran, Wahai Tuhan yang mengarahkan awan, Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkan mereka, menangkan kami ke atas mereka.
Allahumma amin.
Ustazah Asma’ Harun