
Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Bakal Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin belum menerima sebarang maklumat berhubung hasrat Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Santhara Kumar untuk menyertai partinya itu.
Zuraida yang baharu sahaja juga keluar daripada Bersatu baru-baru ini dan menyertai PBM berkata setakat ini masih belum berjumpa dengan Santhara, oleh sebab itu tidak dapat mengulas lanjut berhubung spekulasi tersebut.
“Saya tak tahu… saya tak jumpa dia lagi,” katanya dipetik laporan Astro Awani.
Ditanya sama ada beliau menghubungi Santhara, Zuraida hanya berkata: “Belum apa-apa lagi,”.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan Santhara didakwa menyerahkan surat untuk keluar parti kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, laporan mendakwa Santhara sudah menyerahkan surat untuk keluar daripada parti adalah tidak benar.
Sebaliknya, Wan Saiful berkata isi kandungan surat yang dikemukakan Santhara didakwa hanya menyentuh mengenai hasrat beliau yang mahu melepaskan jawatan sebagai Ketua Sayap Bersekutu.
Tambah beliau, permintaan Santhara akan dipertimbangkan oleh pimpinan atasan parti dengan sebaiknya.
Santhara antara 10 Ahli Parlimen yang mengikut jejak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk keluar PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.