Zuraida masih ahli MPT: Muhyiddin

Bersatu belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Zuraida Kamaruddin, kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada sidang media hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak menerima sebarang perkembangan terbaharu mengenai kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu di dalam Bersatu.

Beliau bagaimanapun mengakui pelbagai pihak membangkitkan itu mengenai keputusan Zuraida menyertai parti lain.

“Kita belum buat keputusan mengenai kedudukan beliau walaupun ramai yang menyatakan beliau sudah menyertai parti lain.

“Saya tidak dapat lagi kenyataan sebenar, tetapi secara ringkasnya, setakat ini, beliau masih ahli MPT. Kalau ada apa-apa perkembangan, penilaian akan dibuat mengenai status beliau.”

“Bukan hanya hanya soal kedudukan sebagai ahli MPT Bersatu tetapi juga Jemaah Menteri kerana beliau dilantik menerusi kapasiti Bersatu. Cuma, sekarang kita belum ambil apa-apa tindakan,” katanya.

Terdahulu spekulasi dikaitkan dengan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang didakwa akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kepemimpinan Bersatu juga baru-baru ini dilaporkan ada berbincang isu pemecatan Ahli Parlimen Ampang itu dan individu lain yang didakwa terlibat dengan parti baharu terbabit.

BERITA BERKAIT
POPULAR