
Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang baharu keluar parti bakal diangkat menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Langkah untuk mengangkat Zuraida yang baharu keluar daripada Bersatu diumumkan Presiden PBM sendiri, Larry Sng yang mahu memberi laluan kepada ahli baharunya itu untuk mengetuai parti tersebut selepas perbincangan dalam Majlis Tertinggi parti itu.
“Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBM juga telah berbincang dan sebulat suara membuat keputusan untuk mengangkat Zuraida sebagai ‘president designate’ bagi memacu pembangunan dan perkembangan PBM untuk masa akan datang.
“Majlis Tertinggi PBM akan bermesyuarat sekali lagi dalam masa terdekat untuk menyusun semula perlembagaan parti bagi membolehkan proses transisi kepimpinan ini berjalan dengan lancar dan teratur,” katanya pada sidang media khas PBM pada Khamis.
Selain itu, Zuraida juga akan diberi mandat untuk berunding dan mewakili PBM dalam perbincangan kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“PBM telah pun memberi mandat untuk beliau mengetuai delegasi bertemu pemimpin parti lain dari segi keahlian dan gabungan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, PBM turut meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mempertimbangkan untuk mengekalkan kedudukan Zuraida dalam kabinet atas faktor prestasi Zuraida yang memberangsangkan sepanjang menjadi menteri.
Sementara itu, Zuraida berkata, beliau akan menjalankan amanat yang diberikan bagi memastikan PBM sebagai parti yang relevan.
“Enam tunjang yang digariskan iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia adalah tunjang yang amat bertepatan dengan apa yang berlaku dalam negara.
Pada masa sama, media dimaklumkan satu sesi sidang khas oleh Zuraida dijangka diadakan dalam tempoh seminggu lagi.
Pada 26 Mei lalu Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai PBM.
Zuraida menjelaskan langkahnya menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.