
Datuk Zaid Ibrahim menyerahkan borang menyertai semula UMNO ketika majlis Taklimat Khas Presiden pada 27 Ogos lalu.
Selepas meninggalkan UMNO pada 2008 dan kemudian menyertai beberapa parti pembangkang, termasuk DAP, peguam kanan Datuk Zaid Ibrahim kini menyertai semula UMNO dengan alasan kononnya untuk memperbetul parti itu dari dalam.
Beliau menyerahkan borang keahliannya ketika Taklimat Khas Presiden UMNO yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 27 Ogos – empat hari setelah anak guamnya Datuk Seri Najib Razak gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, sebelum dihantar menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.
Pada majlis taklimat itu, Zaid turut berucap selama kira-kira 15 minit, dengan turut mengkritik kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang dikongkong musuh UMNO dan mendesak PRU15 disegerakan.
Memetik laporan The Star hari ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen) itu berkata beliau mahu membantu UMNO melakukan perubahan dari ‘dalam’.
“Niat saya hanya untuk membantu UMNO. Saya sudah bersara dan tidak banyak kerja untuk saya. Saya tidak terlalu sibuk dan saya kembali ke parti, saya boleh membantu.
“Saya ingin melihat UMNO lebih berfikiran reformasi dan lebih terbuka kepada pembaharuan di mana untuk melakukannya, ia mestilah dari ‘dalam’,” katanya menurut laporan itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri ceramah anjuran Barisan Nasional (BN) Johor Bahru di Balairaya Stulang Baru, hari ini (16 September).
Untuk rekod, Zaid sebelum ini menyertai UMNO pada 2000, sehingga digantung keahlian pada 2 Disember 2008. Dalam UMNO, beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu mulai 2004 hingga 2008.
Selepas keluar dari UMNO, beliau menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2009 dan bertanding jawatan Naib Presiden pada tahun berikutnya, tetapi keluar daripada parti itu pada November 2010.
Pada Disember 2010, Zaid menyertai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA – dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia) dan dilantik sebagai presiden parti.
Dia kemudian keluar KITA pada 2012, sebelum menyertai DAP pada 2017, tetapi keluar pula daripada parti itu pada 20 April 2020.
Mengulas lanjut, Zaid berkata ramai dalam kalangan rakan-rakannya berkata sukar untuk membuat perubahan dalam UMNO jika ia datang dari “luar”.
“Akhirnya, saya rasa lebih baik saya bersama UMNO walaupun reformasi itu mungkin mengambil masa yang lama,” katanya.
Pada 26 Julai lalu, Najib melantik irma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir bagi mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd selepas menamatkan perkhidmatan firma guaman Tetuan Shafee & Co berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, pada hari kedua (19 September 2022) pendengaran rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu bahawa peguam cara, firma guaman ZIST diberhentikan khidmat bagi mewakili bekas Perdana Menteri itu.