Zahid yang suruh DUN Johor bubar demi cita-cita peribadi: Muhyiddin

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sangat berkuasa dalam parti, malah tindakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga berpunca daripadanya yang menyuruh Menteri Besar Datuk Seri Hasni Mohammad bertindak sedemikian.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Zahid tidak memikirkan kesusahan dan kesempitan hidup rakyat pada ketika pandemik Covid-19 masih menular dan sebahagian tempat di negeri itu dilanda bencana banjir.

Muhyiddin juga memberitahu ada membangkitkan isu pembubaran DUN terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun tidak memiliki keupayaan dan kuasa untuk menyekat langkah yang diputuskan Zahid itu.

“Saya beritahu Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), kenapa nak bubar DUN Johor, dia pun kata tak setuju, dia beritahu Hasni jangan bubar, dia cakap dengan Tuanku Sultan Johor jangan bubar.

“Tapi kenapa bubar tuan-tuan tahu? Kuasa siapa, dekat mana yang buat nak bubar, Ahmad Zahid komedi (Hamidi) yang suruh bubar.

“Bubar sebab ada matlamat, lepas menang PRN Melaka, Johor nak menang, mungkin pergi Perak kemudian nak menang PRU,” katanya ketika berucap di ceramah Pentas PN DUN Tenggaroh hari ini.

Berkemungkinan juga, Muhyiddin tidak menolak kemungkinan jika UMNO kembali berkuasa di Putrajaya, cita-cita Zahid akan tercapai.

Tambah Muhyiddin lagi, beliau juga tidak berpuas hati dengan sikap Hasni yang bertindak membubarkan DUN Johor tanpa berbincang dengan rakan komponen PN yang turut mengangkat beliau sebagai Menteri Besar.

“Kami PN sokong (Husni sebagai Menteri Besar) tapi bila nak bubar ‘feel’ MB ini ,dia langsung tak beritahu (PN), pasal kami ada berapa belas kerusi, 13 kerusi DUN, mereka UMNO-BN (Barisan Nasional) 16 atau 15 kerusi tak banyak beza.

“Kalau UMNO sahaja nak bentuk kerajaan negeri tak boleh, sebab mereka sudah kalah Pilihan Raya Umum Ke-14,”katanya.

Muhyiddin turut mengulangi kenyataan bahawa beliau sedikit pun tidak ralat apabila tidak lagi bersama UMNO kerana menyifatkan parti itu telah rosak dan Zahid sebagai presiden tidak boleh dipercayai.

Ujarnya lagi, UMNO kembali bangkit disebabkan bantuan parti-parti dalam PN yang menyokong wakil parti itu diangkat sebagai MB Johor selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang di Putrajaya

“Kalau tak kerana kita bersama dia (UMNO/BN) bantu naikkan dia, dia kalah, pusat Umno kalah juga, kalau kata Johor kubu kuat UMNO-BN ‘poda’ (boleh berambus dalam bahasa Tamil) dia sudah kalah dulu, kalau dulu sudah kalah, PRN akan datang kita tentukan mereka kalah lebih teruk dari dulu,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR