
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak gentar dengan ramalan kerajaan campuran akan tumbang.
Ramalan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO akan tumbang tidak membimbangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata tidak perlu ditakuti dengan ramalan dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tetapi menasihati jika mahu menukar kerajaan ia perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum (PRU) depan dan bukan sekarang.
“Ketepikanlah soal perbedaan pendapat. Kalau mahu tukar kerajaan, tukar dalam PRU depan.
“Kalau penggal yang lalu, tiga pertukaran Perdana Menteri dan Malaysia menjadi bahan ketawa seluruh dunia… jangan lakukan kerja-kerja buruk ini untuk menyusahkan rakyat sekali lagi,” katanya dipetik laporan Sinar Harian hari ini.
Menurut Zahid lagi, ramalan dibuat oleh Hadi itu sekadar fatwa politik dan tidak akan menjadi kenyataan sama sekali.
“Itu doa buruk beliau. Saya fikir sebagai seorang ulamak politik beliau mempunyai fatwa yang berbeza-beza dan fatwa itu bergantung pada situasi.
“Ayat al-Quran yang sama dan hadis yang sama, maknanya sama tapi tafsirannya berbeza.
“Nilai sendirilah apa yang beliau sebutkan itu sebagai fatwa politik,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Hadi menjangkakan bahawa kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.