
Pertembungan antara Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai budi bicaranya sendiri dalam memperkenankan lantikan seorang Perdana Menteri (PM) baharu nanti, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu sekali lagi mengulangi pendirian berhubung lantikan seorang PM perlu mengikut lunas peruntukan Perlembagaan, iaitu kuasa mutlak dalam memilih jawatan nombor satu negara itu terletak kepada Agong selepas sesebuah parti memperoleh majoriti 19 November nanti.
“Kita yakin bahawa kuasa mutlak Agong terdapat di dalam perlembagaan persekutuan 43 (1) (B) ialah adalah kuasa mutlak melantik perdana menteri.
“Saya yakin Tuanku akan menggunakan kebijaksanaan untuk menentukan siapakah akan Perdana Menteri apabila BN (Barisan Nasional) memperolehi jumlah majoriti yang mencukupi untuk kita menubuhkan kerajaan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini semalam.
Zahid berkata demikian selepas program ceramahnya di Hutan Melintang, Bagan Datuk malam tadi.
Dalam pada itu, Zahid berkata yakin BN akan dapat membentuk kerajaan dengan majoriti yang mencukupi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Saya yakin akhirnya yang akan membentuk kerajaan ialah BN dan tentunya ‘post electoral’ (selepas pemilihan) kita akan menentukan bahawa dua pertiga majoriti mesti diperolehi.
“Ini kerana kerajaan akan terbentuk nanti adalah kerajaan yang stabil dan kita tidak mahu kerajaan yang goyang dan ini akan menyusahkan rakyat,” katanya lagi.
Pada 7 November lalu, Zahid juga memberi jawapan sama semasa mengulas berhubung siapa yang bakal dilantik sebagai PM ke-10 nanti.
Mengikut kelaziman dan tradisi parti, Presiden UMNO akan menjadi PM sekiranya BN yang diterajuinya menang pada PRU-15. Bagaimanapun PM sementara sekarang adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.