Zahid tipu, khianati UMNO jika rakaman audio benar

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai penipu dan pengkhianat terhadap UMNO, sekiranya beliau benar-benar berbual dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagaimana dalam klip audio yang tular sejak malam tadi.

“Saya bimbang memang wujud satu perjanjian sulit, perancangan politik antara Presiden UMNO dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya perbualan benar-benar sahih,” kata Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin.

Katanya, Presiden UMNO akan dilihat sanggup menggadaikan parti itu semata-mata untuk kepentingan diri sendiri dengan semua ahli diperkudakan.

“Ini juga akan dianggap bukti jelas ada perjanjian sulit dimeterai beliau dengan Datuk Seri Anwar,” katanya.

Memetik laporan sebuah akhbar, Mohd Fuad dilapor mempersoalkan apakah tindakan yang bakal diambil oleh Lembaga Disiplin dan MKT UMNO sekiranya rakaman audio perbualan telefon itu sahih.

“Sekiranya rakaman audio perbualan telefon itu sahih, adakah Lembaga Disiplin dan MKT UMNO tutup mata dan tidak mengambil apa-apa tindakan semata-mata untuk menjaga nama baik institusi Presiden?

“Kalau ahli-ahli UMNO senang-senang digantung dan diambil tindakan disiplin sekiranya melakukan kesalahan, mengapa tidak Presiden sekiranya terbukti bersalah?” katanya.

Agenda Daily hari ini mendedahkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik ketika PAU baru-baru ini.

Perbualan kedua-duanya itu sangat mesra dengan saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

POPULAR