
PRU-15, bila masa sesuai diadakan?
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus mendesak agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera, di tengah-tengah gesaan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam supaya beliau berundur sebagai presiden parti.
Dalam catatan Facebook hari ini, Zahid berkata bukan UMNO sahaja yang mahu Parlimen dibubarkan dan memberi laluan kepada pilihan raya akan datang.
Beliau mendakwa bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman juga mahu PRU-15 diadakan segera supaya mandat sah demokrasi perlu dikembalikan” kepada rakyat.
Zahid menulis: “Kerajaan (sekarang) pula tidak stabil kerana terdapat pelbagai watak dan parti dan ini tidak baik untuk negara.”
“Beliau (Rashid) menambah ekonomi semakin teruk dan pelabur lari,” kata Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional.
“Rashid, bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi kini hanya ahli parti Bersatu, memberikan pendapat jujurnya berdasarkan pengalaman selama 30 tahun dalam SPR,” kata Zahid
Semalam, Abdul Rashid dilaporkan berkata PRU-15 paling sesuai diadakan pada suku pertama tahun depan iaitu setelah pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Terdahulu, bekas Peguam Negeri Tan Sri Tommy Thomas berpandangan PRU-15 adalah perkara terakhir dimahukan rakyat ketika ini, sekali gus perlu diadakan selewat mungkin.
Katanya, PRU-15 tidak perlu diadakan sehinggalah penggalnya tamat tahun depan dan ketika ini semua pihak sepatutnya memberi tumpuan membantu kerajaan melaksanakan dasar yang betul.
“Perlu ada langkah untuk elak adakan PRU-15 sebelum penggal lima tahun itu tamat. Jika kita lihat sejarah, kebanyakan penggal parlimen berakhir sehingga lima tahun, jadi PRU-15 boleh diadakan pada Ogos atau September 2023, tentunya setahun lagi,” katanya.
Suku pertama 2023 paling sesuai PRU-15, kata bekas Pengerusi SPR