Zahid tekad genggam bara api ketika pengaruh Ismail Sabri makin menyala

Ketika gerakan semakin kuat dilakukan bagi meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Presiden UMNO, penyandang sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertekad mempertahankan kedudukan yang dimilikinya sejak 30 Jun 2018 lalu.

Tekad Zahid yang bersunguh-sungguh itu diibaratkan beliau seperti “menggengam bara api biar sampai jadi arang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, patah sayap bertongkat paruh, namun gunung ku daki ku daki juga”.

Demikian Zahid meyakini kebenaran akan mengatasi kebatilan, sambil berdoa supaya apa yang beliau dakwa sebagai satu penganiayaan terhadap dirinya, akan lenyap.

Sama ada apa yang berlaku terhadapnya adalah satu penganiayaan atau tidak hanya Allah Yang Maha Mengetahui, namun hakikat nyata sekarang ialah beliau kini sedang berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di dua Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Tiada siapa yang mengetahui apa yang akan berlaku terhadap beliau di akhirat kelak. Jika jutaan ringgit rasuah diambil dan terlepas daripada mahkamah dunia, tetapi tidak di mahkamah Allah walau satu sen diambilnya.

Zahid sebagai Naib Presiden UMNO diberi kepercayaan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO mulai 27 Februari 2016 hingga 11 Mei 2018, susulan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Najib berundur meninggalkan kerusi Presiden menjadi rebutan lima individu, termasuk Zahid yang ketika itu menjalankan tugas-tugas Presiden.

Beliau ditakdirkan mendapat kepercayan majoriti ahli UMNO yang memilih beliau menjadi Presiden bagi penggal 2018-2021, setelah menewaskan empat pencabarnya dalam pemilihan pada Jun 2018.

Bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen (MP) Rembau dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku MP Gua Musang, antara nama besar yang akur kepada kemenangan Zahid. Dua lagi calon ‘anak bilis’ – ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof [email protected] – gagal memperoleh sebarang undi.

Kemenangan Zahid begitu signifikan pada pemilihan yang dianggap sebagai ibu segala demokrasi, selepas BN kalah PRU-14, selain ianya menjadi sejarah kerana buat pertama kali selepas 1988 baharulah ada perebutan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Namun, Zahid sekarang ini hanya melihat kocakan air di permukaan tasik disebabkan tiupan angin, tanpa melihat pusaran yang berlaku di dasarnya yang semakin kuat untuk meletakkan Ismail Sabri sebagai Presiden.

Zahid hanya melihat unsur-unsur luaran yang beliau dakwa cuba meranapkan UMNO, tanpa melihat gerakan peringkat bahagian dan akar umbi yang kini semakin memihak kepada Ismail Sabri yang duduk di kerusi Perdana Menteri (PM).

Bagi ahli akar umbi UMNO, kedudukan Ismail Sabri sebagai PM lebih tinggi dan kuat daripada Zahid. Ditambah lagi, Presiden UMNO itu kini ibarat telur di hujung tanduk kerana kes-kes mahkamah yang dihadapinya. Daripada puluhan tuduhan itu apakah satu pun tidak ada yang salah, dan jika ini berlaku sukar baginya untuk mempertahankan kedudukan disandangnya.

Poster yang beredar dalam media sosial menampilkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Presiden UMNO, manakala Khairy Jamaluddin mencadangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan UMNO.

Kini, gerakan dikatakan semakin giat dilakukan, malah poster dalam media massa mula ditularkan dengan meletakkan Ismail Sabri sebagai Presiden UMNO, selain senarai empat jawatan tertinggi dalam UMNO.

Senarai itu terbaharu meliputi Ismail Sabri sebagai Presiden; Datuk Seri Mohamad Hasan (timbalan); dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Datuk Seri Khaled Nordin sebagai naib presiden.

Sementara, majoriti MP UMNO yang berada di dalam Kabinet Ismail Sabri sekarang, termasuk Khairy, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Dr Adham Baba, dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menjadi sebahagian daripada ahli Majlis Tertinggi (MT).

Walaupun, Zahid dikatakan masih berpengaruh dalam kalangan akar umbi, namun kedudukan Ismail Sabri yang kini semakin mendapat sokongan ahli MT, termasuk bekas orang kuat Zahid sendiri, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, dan Datuk Seri Ahmad Maslan, tidak boleh diketepikan.

Agenda Daily hari ini melaporkan Akar umbi masih menyayangi Zahid, dan ianya adalah realiti sama ada suka atau tidak yang sukar untuk ditelan rakyat biasa yang tidak berada dalam kalangan ahli parti itu. Berita berkaitan https://www.agendadaily.com/politik/suka-atau-tidak-realitinya-zahid-masih-disayangi-akar-umbi-umno/

Ia sesuatu yang amat aneh walaupun Zahid sudah dihadapkan ke mahkamah terhadap puluhan kes salah guna kuasa dan penyelewengan, ia masih tidak dapat mengubah persepsi untuk mengatakan beliau seorang yang korup mahupun sewenang-wenangnya menggunakan kuasanya untuk menindas individu tertentu.

Bagaimanapun, pelantikan beberapa individu sebagai Penasihat Khas PM, khususnya yang melibatkan pemimpin UMNO, adalah petanda Ismail Sabri berusaha memperluaskan pengaruhnya.

Contohnya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Agama PM, adalah sebagai langkah Ismail Sabri mendapatkan sokongan UMNO negeri itu.

Demikian juga pelantikan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan sebagai Pengarah Ekonomi di Pejabat PM, dilihat langkah untuk meletakkan Naib Ketua Pemuda itu menggantikan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang lebih rapat dengan Zahid.

Gerakan-gerakan itu walaupun tidak secara langsung datang terus dari Pejabat PM, namun peranan dimainkan dalam kalangan pemimpin yang rapat dengannya, termasuk Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen, kini berusaha mematahkan sayap Zahid, bagi membolehkan Ismail Sabri menduduki kerusi Presiden pada pemilihan akan datang.

Untuk rekod, ketika pemilihan UMNO pada Jun 2018 lalu Zahid hanya memperoleh 78 undi walaupun berjaya menewaskan Khairy yang mendapat 53 undi, dan Tengku Razaleigh (28 undi).

Ketika itu, Khairy bukan siapa-siapa, hanya bekas Menteri Belia dan Sukan, tetapi sedikit sebanyak mampu menggugat Zahid.

Tetapi kini Zahid bakal berdepan seorang yang berkuasa penuh di seluruh Malaysia – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BERITA BERKAIT
POPULAR