Zahid takut bayang-bayang, hilang jawatan: Ketua Penerangan PAS

June 12, 2022 · Politik

PAS meminta Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berhenti seketika daripada “berpolitiking” kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.

Ketua Penerangan PAS Ir Khairil Nizam Khairudin berkata Zahid sepatutnya memberi fokus kepada menggerakkan jentera UMNO untuk bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat, terutama dalam aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini.

Menurutnya masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi krisis ekonomi.

“Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam juga meminta Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberi nasihat kepada Zahid yang kerap memberi tekanan kepada Ismail Sabri – yang juga Naib Presiden UMNO – untuk segera mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15.

Katanya sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Zahid haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan pada hari ini untuk meneruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan.

“Tujuan PAS menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan. Jangan diheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti.

“Sepertimana Presiden UMNO mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan UMNO, begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.

Berikan sokongan tidak bersyarat kepada Perdana Menteri untuk beliau dan Kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Khairil Nizam turut mengingatkan supaya kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan tidak dihancurkan semata-mata untuk menyelamatkan diri sendiri.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor memberi jawapan balas terhadap serangan Zahid ke atas parti Islam itu dengan mengatakan desakan Zahid supaya PRU-15 diadakan segera untuk menyelamatkan dirinya.

Zahid dalam kenyataan semalam, mendakwa Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sebenarnya takut parti itu kehilangan kerusi mereka sekiranya PRU-15 disegerakan.

“Mungkin kalau pilihan raya (diadakan) cepat, beliau khuatir partinya akan hilang kurang daripada 18 kerusi Parlimen sedia ada,” kata Zahid.

Susulan itu, Sanusi berkata Zahid, yang kini berdepan perbicaraan puluhan kes jenayah rasuah, bertegas mahu mengadakan PRU lebih awal daripada sepatutnya kerana takut dipenjarakan.

“Dia takut masuk penjara kalau PRU lambat.

“Talian hayat dia untuk elak masuk penjara hanyalah cuba merebut kuasa untuk memastikan kluster mahkamah dapat diselamatkan daripada hukuman melalui campur tangan kerajaan baharu,” kata Sanusi.

Untuk rekod, Zahid kini sedang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi kes Yayasan Akalbudi, Zahid telah diperintah membela diri setelah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadapnya.

Presiden UMNO itu didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Berita berkaitan
Zahid sepatutnya berundur, jadi perosak kestabilan negara: Wan Saiful
9 jam lalu· Politik
Tarikh PRU-15, Utusan dedah tidak pernah ada perbincangan ‘Top 5’ UMNO
10 jam lalu· Politik
Pemilihan parti, akar umbi UMNO bimbang akan dikuasai pemimpin berjawatan
16 jam lalu· Politik
Zahid sahut cabaran Dr M, mahu dedah bukti video diugut bubar parti
16 jam lalu· Politik
Popular
Tarikh PRU-15, Utusan dedah tidak pernah ada perbincangan ‘Top 5’ UMNO
July 4, 2022
Pemilihan parti, akar umbi UMNO bimbang akan dikuasai pemimpin berjawatan
July 4, 2022
Ambillah kuda tua UMNO, kata Nur Jazlan label menteri PAS cap ayam
July 4, 2022
Selepas audit forensik undian Rafizi disahkan timbalan presiden PKR
July 4, 2022
Lagi Politik terkini
Selepas audit forensik undian Rafizi disahkan timbalan presiden PKR
4 jam lalu · Politik
Sultan Selangor nasihat pemimpin politik Melayu hentikan perbalahan
6 jam lalu · Politik
Ambillah kuda tua UMNO, kata Nur Jazlan label menteri PAS cap ayam
10 jam lalu · Politik
Parti akan bincang guna lambang PN, kata Tuan Ibrahim
July 3, 2022 · Politik
PBM bakal hantar permohonan sertai BN dalam masa terdekat: Zuraida
July 3, 2022 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tak serius, kerajaan ambil lewa isu harga barang, kata pemimpin Amanah
July 1, 2022
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
July 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok