Zahid sudah hilang kepercayaan, Ahli Parlimen BN desak jumpa buat penjelasan

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini sudah hilang kepercayaan apabila Ahli-Ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) enggan mengikut telunjuknya menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), malah Menteri dan Timbalan Menteri juga tidak mahu meletak jawatan mereka.

Seramai 31 MP BN membuat pendirian untuk kekal bersama kerajaan PN sehingga keabsahan ditentukan semasa sidang Parlimen pada September depan, ia walaupun Zahid mendesak supaya Menteri dan Timbalan Menteri meletak jawatan mereka.

Dalam satu sidang media diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, semua MP BN tersebut berpendirian tindakan meruntuhkan kerajaan sedia ada adalah tidak bertanggungjawab terutamanya ketika negara sedang berdepan krisis pandemik Covid-19.

“Menarik diri serta merta menumbangkan kerajaan dan lari daripada tanggungjawab kita yang diberikan diamanahkan oleh rakyat merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Jadi kita tidak mahu menjadi pemimpin yang tidak bertanggungjawab dalam keadaan rakyat sesak, kita lari daripada medan perang ini.

“Jadi kita akan terus menyokong berdasarkan seperti saya kata tadi titah daripada Yang di-Pertuan Agong untuk kita terus kekal bersama kerajaan sehinggalah keabsahan kerajaan ini ditentukan di dalam Parlimen. Insya-Allah di dalam parlimen kita akan buat keputusan apabila sampai masanya,” katanya semasa sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pagi tadi.

Kenyataan tersebut merupakan satu tamparan hebat kepada Zahid yang dilihat sudah hilang kepercayaan apabila cuba mencetuskan satu lagi kemelut politik yang akan memudaratkan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Jelas Ismail Sabri, surat tuntutan yang dihantar pejabat Setiausaha Agung yang meminta MP UMNO mengikut pendirian parti juga bertentangan dengan perundangan dan mereka akan membincangkan sama ada membalasnya atau tidak terlebih dahulu.

“Mengenai surat-menyurat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO yang memberi tempoh 48 jam sahaja ianya dilihat bertentangan dengan perundangan dan kita akan melihat perkara ini dan kita akan membuat keputusan sama ada ingin menjawab atau tidak surat tersebut kita akan bincang lagilah,” terang beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri juga mendesak supaya Zahid bertemu dengan semua MP BN bagi memberikan penjelasan berhubung hala tuju yang ingin dibawanya susulan keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada masa yang sama oleh kerana arahan daripada Presiden melibatkan kami Ahli Parlimen maka kami meminta presiden supaya berjumpa dengan setiap kami Ahli Parlimen supaya dapat diperjelaskan tujuan dan juga hasrat beliau kepada kami Ahli-Ahli Parlimen.

“Jadi kita merasakan tidak boleh keluarkan arahan tiba-tiba tanpa berjumpa dan memperjelaskan kepada kami tentang tindakan yang dilakukan oleh Presiden kepada ahli parti. Percayalah. kami merupakan pemimpin yang setia kepada parti, bagaimanapun setiap tindakan kita jangan sampai merugikan parti dan jangan sampai membebankan rakyat atas tindakan kita,” katanya.

Sidang media hari ini dilihat sebagai tindak balas terhadap sidang media yang diadakan oleh Zahid selepas selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi pada Selasa yang mengumumkan keputusan parti untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri.

Ia bagaimanapun tidak mendapat persetujuan MP BN yang secara majoritinya tidak menyokong tindakan yang diputuskan oleh Zahid yang dilihat tidak jelas apabila kerana tidak mempunyai hala tuju yang jelas berhubung bentuk kerjasama baharu yang sedang dirancangnya.

Untuk rekod, keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 juga sudah membuat ketetapan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

BERITA BERKAIT
POPULAR