Zahid sindir Bersatu, beri peringatan kepada PAS

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar dan perasmian pada PAU 2020 di PWTC, hari ini. - Gambar UMNO Online

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus disindir oleh Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, hari ini.

Pada masa sama, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut kecewa dengan pendirian gabungan Muafakat Nasional (MN) yang dilihatnya sudah mula berubah apabila menyertai kerajaan PN.

Ketika menyampaikan ucapan dasar dan perasmian PAU pagi tadi, beliau berkata, parti itu sedar bahawa Bersatu tidak mendapat dukungan sepenuhnya rakyat, selain tiada sokongan akar umbi.

Sambil menuduh Bersatu mempunyai muslihat politik, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya berhati-hati dengan gerakan untuk menghancurkan UMNO.

“Hasrat ular lidi untuk menelan ular sawa terus dipergiatkan tanpa henti. Termasuklah muslihat politik ketika kita menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah. Waspadalah! Muslihat mereka tidak akan berhenti selagi UMNO tidak hancur,” katanya.

Beliau berkata, penolakan akar umbi terhadap kerjasama dengan Bersatu, telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian, malah, 147 daripada 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama itu.

“Anehnya, ada pula gerakan yang kemudiannya disusun untuk mengubah keputusan besar parti. Kita tahu siapa mereka. Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya,” katanya tanpa menyebit individu dalam gerakan itu.

Mengenai MN, beliau mengingatkan rakan sekutunya, PAS, supaya tidak lupa bahawa melalui pemuafakatan itu mereka memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Bayangkan enam dekad lamanya kita bersengketa, akhirnya kita dapat bertentang mata. Sehingga mewujudkan piagam dan perjanjian persefahaman yang kita tandatangani pada 14 September 2019. Jangan kita lupa, dengan permuafakatan ini, kita telah memenangi tujuh pilihan raya kecil.

“Namun, setelah menyertai sebahagian daripada kerajaan, tiba-tiba pendirian politik telah mula berubah. Ingin saya tegaskan kita hanya menyokong pembentukan sebuah kerajaan yang kemudiannya dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional. Tidak disangka, ada pihak membentuk gabungan parti politik yang juga dinamakan Perikatan Nasional tanpa penyertaan UMNO,” katanya.

Zahid yakin permuafakatan itu akan mendapat sokongan padu dalam kancah politik negara dan membuka ruang kepada UMNO serta BN kembali menerajui negara.

POPULAR