Zahid sendiri pun tak faham ungkapan Imam Syafie

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Sekadar memetik kata-kata Imam Syafie, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat gagal memahami makna ungkapan ulama tersohor itu.

Sambil menyifatkan UMNO sebagai seekor singa berbanding dengan parti lain, beliau memuat naik dua ungkapan Imam Syafie yang menyebut ‘Katakanlah apa yang kamu inginkan dalam mencela maruahku, maka diamku dari cercaan itu adalah satu jawapan’ dan ‘Bukanlah aku tidak memiliki jawapan, Akan tetapi apakah singa perlu melayan salakan anjing?’

Namun, menulis dalam Facebooknya pada Rabu, Zahid secara halus membalas dakwaan menyamakan pemimpin UMNO dengan ‘binatang politik’.

“Sebahagian pimpinan UMNO dilabelkan sebagai binatang politik oleh pemimpin Bersatu. Kita tidak pasti binatang apa yang disamakan itu, tetapi yang pasti bukan haiwan bergelar katak.

“Mustahil mereka tergamak menyamakan pemimpin UMNO yang setia dengan katak. Tidak cukup dengan mencerca pemimpin UMNO ditambah pula dengan tuduhan bersifat fitnah. Ya memang begitulah politik berpaksikan fitnah terus menerus dijadikan ‘senjata’ sejak PRU14.

“Fahami ungkapan bermakna al Imam Al Syafie,” kata Zahid sambil memetik dua ungkapan ulama tersohor itu.

Dipercayai Zahid menulis kenyataan di Facebooknya itu susulan dakwaan kononnya seorang pemimpin Bersatu melabelkan pemimpin UMNO sebagai ‘binatang politik’.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman membuat aduan polis terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah, yang menyiarkan nombor telefonnya kepada umum.

Faiz berbuat demikian selepas wujud pihak tertentu yang memalsukan kenyataannya berkaitan ‘binatang politik’ dan sengaja ditularkan bertujuan melaga-lagakan akar umbi Bersatu dengan UMNO.