Zahid sekutu pengkhianat bangsa tarik sokongan terhadap PN: Qiam

Pertubuhan Gerakan Qiam menyifatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kemnya yang menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai pengkhianat bangsa.

Sambil menggesa Zahid dan sekutunya bertaubat, Qiam juga berpendapat undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen tidak dibuat.

Presiden Qiam Datuk Sirajuddin Salleh mengingatkan semua pihak dengan memetik tiga amanat utama Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ketika titah ucapan sambutan Maal Hijrah iaitu menghentikan sengketa, jangan berebut kuasa dan bersatu.

“Pertubuhan Gerakan Qiam menyokong penuh titah ini dan berpendapat tidak ada saranan atau tuntutan yang lebih jelas dan besar dari tiga perkara ini semasa negara dan dunia berperang dengan pandemik Covid-19. Lebih sejuta rakyat yang telah dijangkiti Covid-19
dan lebih 11,000 yang meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya blok pembangkang, serta Zahid dengan kemnya terus menyerang kerajaan dengan menuntut Muhyiddin berundur dan mempercepatkan sidang Dewan Rakyat bagi menggulingkan kerajaan.

“Tidak cukup dengan itu, pembangkang mengadakan demonstrasi jalanan. Apakah tujuan mereka agar media luar negara melaporkan Malaysia dalam keadaan huru-hara?

“Pelabur asing menjadi takut untuk melabur di sini. Bagaimana dapat dipulihkan ekonomi negara jika inilah perbuatan mereka? Perbuatan khianat ini tidak harus dimaafkan,” katanya.

Sirajuddin mempersoalkan adakah tindakan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN kerana hendak berpakat dengan DAP dan PKR membentuk kerajaan baharu.

“Apakah mereka lupa siapa itu DAP setelah melihat 22 bulan DAP dalam Kerajaan PH? Butakah mata hati mereka? Apakah mereka juga lupa siapa itu Pemimpin PKR?

“Bukankah Perhimpunan Agong UMNO sudah buat resolusi “NO DAP, NO ANUAR”. Pada QIAM, Presiden UMNO dan kumpulan yang menarik sokongan kepada kerajaan PN itu bolehlah disifatkan sebagai pengkhianat bangsa.

“Kita harap agar orang UMNO dan rakyat keseluruhannya jangan sekali-kali memberi undi kepada muka-muka pengkhianat bangsa ini ini pada mana-mana sekali pun,” tegas beliau lagi.

Sirajuddin turut membangkitkan persoalan mengenai siapa yang layak dan berkaliber untuk menjadi Perdana Menteri di kalangan pembangkang dan kem Zahid untuk menggantikan Muhyiddin

“Di satu segi pula, jika ditukar Perdana Menteri sekali pun, apakah masalah Covid-19 ini boleh mereka hapuskan sekelip mata? Apakah buta mata hati mereka untuk melihat bahawa negara-negara di dunia termasuk negara besar sekali pun masih bergelut memerangi wabak Covid-19 ini?,” katanya.

Pada masa sama beliau juga berkata Qiam menggesa Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad membimbing dan membawa pemimpin-pemimpin UMNO, PAS, Bersatu supaya berbaik semula membentuk tulang belakang yang kuat sebagai kerajaan negara ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR