Zahid sahkan UMNO pecat dua ADUN tarik sokongan di Melaka

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO dipecat kerana tindakan menarik sokongan sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri Melaka diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Pemecatan itu disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membidas tindakan kedua-dua ADUN tersebut kerana menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri, ia selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

“Bagi ADUN UMNO yang khianat kerajaan BN Melaka, saya harap mereka bersedia untuk terima tindakan dari parti bagi terima surat pemecatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dua ADUN UMNO tersebut, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bersama dua lagi ADUN.

Dua lagi ADUN itu ialah Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam menerima cadangan agar DUN Melaka dibubarkan hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR