Zahid pulang dari Jerman, tak mahu terlepas raikan kemenangan besar BN

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi difahamkan sudah pulang ke tanahair dari Jerman selepas selesai menjalani rawatan sakit belakangnya.

Kepulangan awal tersebut sebelum berlangsung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November kerana Zahid tidak mahu terlepas meraikan kemenangan besar yang diramalkan akan memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Untuk rekod, Zahid berlepas ke Jerman pada 29 Oktober lalu dan sepatutnya menyerahkan semula pasportnya yang dikembalikan untuk sementara waktu pada 21 November ini.

Bagaimanapun, Pengerusi BN itu tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan kemenangan yang hampir pasti menjadi milik gabungan itu.

Menurut sumber BN, sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka akan dimenangi parti BN yang bertanding pada PRN kali ini.

“Zahid tidak mahu terlepas peluang untuk meraikan kemenangan besar BN dalam PRN kali ini, kepulangannya ini seperti satu isyarat pahlawan tulen UMNO akan turun untuk membantu jentera berkempen bagi saat-saat akhir tempoh berkempen,” kata sumber.

Dalam pada itu, Zahid juga dikatakan akan turun ke Melaka bagi membantu kempen BN yang berbaki dua hari lagi sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.

Dalam PRN kali ini, sebanyak 20 calon diletak UMNO, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC.

Jentera BN yang sebelum ini dilihat kurang bermaya nampaknya teruja dengan kepulangan Presiden disayangi mereka dan mula bersemangat untuk berkempen semula.

Pada 11 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan semula pasportnya untuk ke luar negara.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu berhadapan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana menerima suapan berjumlah S$13.56 juta sebagai dorongan bagi dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR