
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tindakan saman Perikatan Nasional (PN) yang mahu diambil terhadap beberapa pemimpin kerajaan campuran menimbulkan kegusaran.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan peguam akan mengambil langkah tindakan undang-undang seterusnya terhadap pemimpin kerajaan campuran kerana membuat tuduhan berhubung isu dana judi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antara salah seorang pemimpin kerajaan campuran yang pernah mengeluarkan dakwaan sama terhadap PN yang kononnya menerima dana judi untuk berkempen sebelum ini.
“Dengan saya? Saya? Pasal apa (saman) saya?” kata Zahid dipetik laporan BH selepas ditanya berhubung langkah saman yang bakal diambil PN.
Mengulas lanjut, Zahid menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan PN menerima dana daripada syarikat judi untuk melaksanakan kempen PRU-15 yang lalu.
“Semalam, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman telah keluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu, dan (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki juga telah perjelaskan.
“Oleh kerana perkara ini masih lagi di dalam siasatan terperinci, kita serahkan kepada SPRM untuk memperincikan siasatan itu,” katanya.
Semalam, Muhyiddin ketika ditemui di mahkamah memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan peguam mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini susulan jawapan bertulis Azalina di Dewan Rakyat, Khamis lalu yang memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU-15.
Pada 5 Disember tahun lalu, Anwar dalam satu sidang media membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN ketika PRU-15, datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.
Sehari selepas itu, Zahid dalam ucapan di Program Himpunan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri, menyatakan keyakinan dana PRU-15 ‘pihak di belah sana’ datang dari syarikat perjudian yang terbabit cabutan khas judi.