Zahid perlekeh manifesto cikgunya yang terima ‘katak berprinsip’

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat tidak menghormati cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila memperlekehkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya hanya sebagai janji manis dan mengelirukan rakyat Melaka.

Presiden UMNO itu sudah lama menjadi anak murid kepada Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, malah kemesraan kedua-duanya terserlah apabila saling merencanakan strategi politik ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Kedua-dua anak murid dan cikgu saling berbual mesra menerusi telefon sebagaimana tular klip audio berhubung perbualan itu 7 April lalu. Berita berkaitan

Namun, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual 20 November ini, Zahid memperlekehkan gabungan parti yang diterajui cikgunya itu.

Zahid menyifatkan sesuatu yang pelik apabila dalam manifesto PH mereka mahu menggubal enakmen antilompat parti tetapi pada masa sama Presiden UMNO itu berkata PH sebaliknya mengiktiraf ‘katak berprinsip’.

“Pakatan Harapan (PH) datang lagi dengan janji-janji manis barunya sempena Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka.

“Namun terdapat banyak perkara yang sangat mengelirukan dalam janji mereka kepada rakyat Melaka kali ini.

“Mahu menggubal enakmen anti-lompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan, tetapi inilah parti yang mengiktiraf ‘katak berprinsip’,” tulis Zahid dalam Facebooknya malam tadi.

Kenyataan Zahid itu juga dilihat menyindir cikgunya yang menerima dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menyebabkan kerajaan Melaka tumbang 4 Oktober lalu, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), untuk bertanding pada PRN Melaka atas tiket PH.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata PH mahu mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang setaraf Exco, tetapi gabungan itu jugalah yang memperkecilkan peranan Ketua Pembangkang semasa menjadi kerajaan.

“Mahu memberi hak peruntukan tahunan setara kepada setiap ADUN tanpa mengira parti, tetapi merekalah yang menafikan hak itu semasa berkuasa sebagai Kerajaan Persekutuan

“Mahu mewujudkan peluang pekerjaan baharu di PBT dan GLC, tetapi inilah parti yang pernah kata saiz perkhidmatan awam negara terlalu besar dan patut dikurangkan.

“Realitinya inilah antara yang baharu dijanjikan mereka, tetapi terbukti dilaksanakan secara “vice versa” sepanjang 22 bulan mentadbir negara,” kata Zahid yang kini menjalani rawatan sakit belakang di Jerman – negara sama cikgunya mendapatkan rawatan.

Beliau membandingkan manifesto Barisan Nasional (BN) yang menurutnya telah lama memberi janji kepada rakyat dan dilaksanakan, malah BN juga mempunyai rekod pentadbiran yang cekap.

Zahid mendakwa BN kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu kerana rakyat dikaburi dengan fitnah dan permainan persepsi PH yang rakus untuk berkuasa.

Untuk rekod, antara isu utama yang dimainkan PH pada PRU14 lalu ialah penyelewengan berbilion-bilion ringgit dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Perdana Menteri dan Presiden UMNO ketika itu Datuk Seri Najib Razak, serta beberapa pemimpin UMNO yang lain.

Najib dan beberapa pemimpin UMNO lain termasuk Zahid kini sedang berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan pengubahan wang haram melibatkan berbilion ringgit.

Malah, Najib sendiri telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah didapati bersalah dalam kes SRC International.

BERITA BERKAIT
POPULAR