Zahid pembohong kata PN tak ada calon kaum India

Dalam cubaannya untuk mendapat sokongan pengundi India di Johor, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah berbohong kepada kaum itu apabila menuduh Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon daripada kaum India.

Ini adalah percubaan terakhir Zahid yang memalukan orang Melayu apabila bercakap bohong secara terang-terangan, sebelum menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok ini.

Perikatan Nasional sebaliknya mempunyai dua calon daripada kaum India iaitu Alagenthiran Krishnan, 36 tahun, bagi kerusi N27 Layang-Layang, dan Selvendran a/l Velu, 44 tahun di N30 Paloh.

Malah, Perikatan Nasional meletakkan enam calon bukan Melayu yang menganggotai Bersatu pada PRN Johor, esok. Mereka ialah:

Tan Lek Khang, 37 tahun – N06 Bekok;

Dr Chong Fat Full, 62 tahun – N10 Tangkak;

Ronald Sia Wee Yet, 45 tahun – N23 Penggaram;

Alagenthiran Krishnan, 36 tahun – N27 Layang-Layang;

Kevin Wong Chan Giap, 32 tahun – N28 Mengkibol; dan

Khoo Kong Ek, 61 tahun, – N48 Skudai.

Memetik laporan Malaysiakini hari ini, Zahid ketika bercakap kepada petugas kempen MIC di Johor Bahru hari ini, berkata ini adalah asas untuk masyarakat India menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN.

“PN nak jadi kerajaan Johor. Mereka ada calon Melayu, calon Cina dari Gerakan, tetapi tiada seorang pun calon India.

“Mereka (PN) tidak menghargai pengundi India di Johor, sebab itu pengundi India mesti menolak PN di Johor.

“Dalam usaha untuk membentuk kerajaan Johor yang stabil, ‘abah’ (Muhyiddin, kata) dia prihatin, tetapi ‘abah’ tidak peduli dengan pengundi India,” katanya.

Zahid menambah bahawa kerajaan negeri PN tidak akan mempunyai perwakilan India.

Jika apa yang dikatakan Zahid itu adalah benar, maka BN kini amat terdesak untuk meraih sokongan pengundi India hingga sanggup pula berbohong.

BERITA BERKAIT
POPULAR