
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Ahmad Yahaya.
Dewan Ulama PAS mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berniat mengelirukan orang awam dengan memberikan pandangan sinis terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang kepada pengundi.
Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahaya berkata terdapat perbezaan yang jelas di antara amalan rasuah, politik wang dan pemberian sedekah khususnya ketika kempen pilihan raya berjalan.
Menurut Ahmad, Abdul Hadi memang tidak pernah berdolak-dalik dengan pandangannya.
“Apa yang dijelaskan itu telah nyata. Ia tiada kaitan dengan usaha menghalalkan amalan rasuah sebagaimana yang cuba ditohmah oleh Zahid.
“Malangnya, Zahid sengaja memutarbelitkan kenyataan tersebut supaya mereka dapat membakulkan rasuah dan sedekah dalam satu bahagian yang sama,” katanya.
Tanpa merujuk kes rasuah dihadapi Presiden UMNO itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena beerkata Zahid sepatutnya lebih arif untuk membezakan di antara elemen rasuah dan politik wang yang merosakkan masyarakat, dengan pemberian sedekah.
“Namun, malangnya dia kelihatan masih keliru dan mengelirukan orang lain,” katanya menurut Harakah.
Ahmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zahid yang menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai hipokrit dalam isu pengagihan wang tunai oleh partinya kepada pengundi semasa pilihan raya umum lalu dengan mendakwa ia adalah sedekah, justeru, tidak melanggar peraturan pilihan raya.
Abdul Hadi dilaporkan berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.
Sementara itu Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed menyifatkan isu tersebut sengaja disensasikan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas Abdul Hadi diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.
“Bahasa yang dipetik (Abdul Hadi) jelas menggunakan laras bahasa biasa dan mudah difahami rakyat kebanyakan.
“Sama ada sengaja membuat geger (bising) atau cuba mengalih isu melibatkan prestasi kerajaan semasa dengan kenyataan demi kenyataan yang bercanggah, apa lagi kecaman hebat terhadap idea madani yang diakronimkan secara tidak wajar dan langsung tiada wow factor.
“Hanya dilihat biasa dan sejujurnya saya jangkakan sesuatu yang berbeza daripada Perdana Menteri ke-10 tetapi hampa,” ujarnya.
Mohamad Kamal secara sinis turut berpesan agar BN dan PH menyelesaikan dahulu dakwaan-dakwaan mahkamah dihadapi Zahid.
“Setidaknya berilah juga ruang kepada Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) untuk mendudukkan pimpinan PN selepas sebulan dia membuat cabaran meninggi diri dengan kepandaiannya sebagai ‘pemerhati’ ekonomi sebelum ini dengan 1,001 formula mudah.
“Atau boleh juga selesaikan sahaja isu ayam yang sudah bertelur atau masih enggan,” katanya.