Zahid patut buang Menteri UMNO tak letak jawatan: Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memecat Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang tidak meletak jawatan mereka kerana tidak setia kepada parti.

Gesaan itu dibuat pada masa Zahid kini terpalit dengan kontroversi pakatan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tular klip audio perbualan mereka.

“Saya fikir mereka (Menteri UMNO) tidak menunjukkan disiplin. Mereka tidak menunjukkan kesetiaan yang sempurna.

“Jadi kalau saya, mereka akan dikeluarkan dan tidak mahu mereka kembali,” kata beliau dipetik portal Malaysian Insight.

Tengku Razaleigh menyifatkan keberadaan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional tidak menyumbang kepada kemenangan parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Mereka diberikan kerja dan mereka mahu terus kekal di situ. Ada antara mereka fikir lebih baik jadi menteri daripada tidak ada apa-apa.

“Bukan mereka saja yang akan kalah. Kita (Umno) pun akan jatuh sama,” katanya lagi.

Zahid sebelum tular klip audio berbual dengan Anwar semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) lalu mendesak Menteri dan Timbalan Menteri UMNO meletak jawatan bagaimanapun sebaliknya yang berlaku apabila mereka enggan selepas mendapat nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.