Zahid nafi angkuh, realitinya UMNO kuat dan jadi pilihan rakyat

UMNO sebuah parti yang kuat dan realitinya akan menjadi pilihan rakyat, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya secara solo.

Presiden UMNO itu semalam berkata sudah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan menyifatkan persefahaman dalam Muafakat Nasional (MN) sudah berakhir.

“Seterusnya saya menjawab soalan tentang kedudukan MN andai pilihan raya negeri (PRN) Melaka berlaku dan saya lontarkan pandangan saya.

“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan Insya Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Malah, Zahid juga menjelaskan MN tidak pernah didaftarkan secara rasmi, justeru ia tidak menjadikan UMNO terikat dengan sebarang syarat untuk meneruskan kerjasama.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan,” katanya dipetik dalam satu wawancara semalam.

Jelas Zahid, keputusan memutuskan kerjasama dengan PAS juga sama dengan langkah yang diambil terhadap Bersatu sebelum ini dan berharap ahli-ahli UMNO akan menghormati pendirian tersebut.

“Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai presiden menghormati bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu,” ujarnya lagi.

Dalam kenyataan di Facebook itu lagi, Zahid juga membangkitkan berhubung isu pengkhianatan yang merujuk kepada PAS kononnya tidak ikhlas menjalinkan kerjasama dengan parti itu.

“Kemudian saya menjawab soalan adakah saya kecewa dengan MN yang pernah dimeterai pada 2019. Saya cakap tidak pernah kecewa sebagai ahli politik. Tetapi kita harus tahu apabila kita berkongsi hidup harus saling percaya mempercayai dan jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah pengkhianatan dilakukan sekali, tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula,” ujarnya lagi.

UMNO semasa Perhimpunan Agung 2020 pada Mac lalu membuat ketetapan memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, ia juga menyaksikan 15 Ahli Parlimen (MP) yang dikepalai Zahid menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zahid sebelum itu merancang pakatan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Muhyiddin, ia susulan pendedahan klip audio tular antara kedua-dua mereka sebelum ini.

Zahid juga bersama rakannya, Datuk Seri Najib Razak turut menghantar surat menyatakan sokongan terhadap Anwar ke Istana Negara sehingga menyaksikan berlaku satu lagi kemelut politik negara.

Muhyiddin meletak jawatan pada Ogos lalu seleps hilang majoriti angkara 15 MP yang diketuai Zahid sendiri, namun mengambil pendekatan secara diplomasi apabila mencalonkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Ismail Sabri akhirnya menjadi PM baharu menggantikan Muhyiddin dan meredakan ketegangan politik yang melanda negara.

Zahid yang terpalit puluhan pertuduhan di mahkamah bagaimanapun masih meneruskan usahanya untuk menjatuhkan kerajaan Ismail Sabri pula apabila dilihat cuba mencari masalah dengan PAS kini.

BERITA BERKAIT
POPULAR