
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Naib Presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya faham kenapa PRU-15 perlu disegerakan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegur Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memahami sebab Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan.
Sambil mengulangi gesaannya supaya Parlimen dibubarkan segera bagi membuka laluan kepada PRU-15, beliau turut memberi amaran tentang keperluan untuk “mengenal pasti musuh dari dalam.”
Beliau berkata Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, mesti memahami keperluan untuk mengadakan segera PRU itu.
Bagaimanapun, setakat ini Ismail Sabri dilihat tidak berminat mengadakan PRU-15 lebih cepat kerana negara masih belum pulih sepenuhnya, terutama dari segi ekonomi dan kehidupan rakyat, susulan pandemik Covid-19.
Beberapa isu dan skandal baharu yang muncul juga dikatakan boleh menjejaskan peluang UMNO dan BN untuk memenangi majoriti kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.
Malah hari ini, Ismail Sabri berkata beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh PRU-15.
‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Zahid; Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan; serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan Ismail Sabri sendiri.
Zahid, yang merupakan Presiden UMNO berkata, dengan berbuat demikian akan membantu BN dan UMNO melakukan proses “pembersihan” daripada musuh yang berada di dalam parti itu.
“Saya setuju Parlimen mesti dibubarkan segera. Amanat mesti dikembalikan kepada rakyat tetapi saya tidak ada kuasa untuk berbuat demikian, hanya dia (Ismail Sabri) sahaja yang boleh,” katanya menurut laporan NST.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Makkal Sakthi ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini (11 September 2022).
“Lebih mudah untuk mengenal pasti musuh dari luar BN tetapi bukan mudah untuk mengenal pasti musuh dari dalam. Kita mesti membersihkan keadaan. Kita mesti dapat mengenal pasti musuh sepantas yang kita boleh.
“Jangan risau, ia tidak lama lagi. Semuanya akan dibersihkan. Tetapi demi parti, saya tidak akan berdendam dengan sesiapa. Saya boleh beritahu kawan daripada lawan. Dalam bulatan kawan ada musuh dan dalam bulatan musuh ada kawan,” katanya.
Zahid juga menolak dakwaan bahawa UMNO sedang bertukar menjadi parti politik yang berfungsi untuk melindungi satu personaliti – bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara kerana rasuah.
“Bossku (Najib) hanya lambang apa yang kita perjuangkan. Semangat Bossku ada dalam BN. Kita bukan berjuang untuk seorang sahaja. Selepas kerjaya politik selama 46 tahun, bagaimana kita boleh kata dia tidak menyumbang apa-apa. Mustahil.”
Terdahulu, cikgu kepada Zahid, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Perdana Menteri supaya tidak mengadakan PRU semata-mata kerana desakan dan ugutan, termasuk daripada pihak yang mahu melepaskan diri daripada kes mahkamah.
Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata adalah tidak wajar bagi Perdana Menteri bertindak melulu mengadakan pilihan raya atas kepentingan pihak tertentu, termasuk untuk membebaskan individu daripada kes mahkamah.
“Perdana Menteri tidak boleh tetapkan tarikh pilihan raya atas ugutan pihak kecil, kepentingan mereka untuk dibebaskan (dalam) kes mahkamah dan sebagainya,” katanya.
Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO termasuk Zahid sedang menghadapi puluhan pertuduhan jenayah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan ketika Barisan Nasional dan UMNO memerintah, sebelum kalah pada 2018.
Zahid, sendiri berdepan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd ketika dia menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini.
Presiden UMNO itu juga berdepan 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyalahgunakan wang Yayasan Akalbudi, termasuk 12 pertuduhan pecah amanah jenayah lebih RM31 juta.
Selain Zahid, Ahli MT Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin; dan pemimpin UMNO Johor Tan Sri Shahrir Samad, adalah antara pemimpin parti itu yang berdepan pertuduhan di mahkamah.