Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam melancarkan jelajah kayuhan basikal sekumpulan penyokong partinya yang akan mengelilingi seluruh semenanjung.
Pelancaran tersebut diadakan di Parlimennya, Bagan Datuk dan bakal berakhir di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, iaitu semasa Perhimpunan Agung UMNO, ia dengan matlamat untuk memperjelaskan makna di sebalik bendera parti itu.
Misi kayuhan tersebut diketuai Saad atau lebih dikenali Pak Ad, dari Baling, Kedah yang dijangkakan membuat kayuhan sejauh kira-kira 2,500 kilometer.
Ditemani seorang rakannya dari Sik, Kedah sebagai pengayuh tetap di sepanjang perjalanan, mereka dijangka menamatkan kayuhan pada 16 Mac depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, iaitu semasa Perhimpunan Agung UMNO.
Menurut Saad, kayuhan yang dilakukannya itu dinamakan ‘misi kayuhan cintailah tanah air kita dulu, kini dan selamanya bersama UMNO’.
Katanya, sepanjang kayuhan, dia akan mengibarkan bendera UMNO dan akan memberi penjelasan mengenai makna di sebalik bendera UMNO kepada masyarakat di setiap tempat yang akan mereka singgah nanti.
“Dalam kayuhan ini, saya dapat jumpa dengan anak-anak muda untuk perjelaskan makna bendera UMNO yang berkeris.
“Saya berharap usaha ini dapat menyemarakkan semangat perjuangan orang Melayu dan UMNO untuk mempertahankan maruah tanah air dan bangsa serta agama.
“Kita tidak rasis, tapi, kita perlu melakukan sesuatu demi untuk generasi masa depan. Kalau ada pihak setuju dengan cara ini, setujulah, tapi yang tak setuju, terpulanglah.
“Ini merupakan kayuhan pertama mengibarkan bendera UMNO di seluruh Semenanjung menggunakan basikal sejak UMNO ditubuhkan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Saad berharap misi kayuhannya itu mendapat sokongan daripada UMNO bahagian di seluruh negara.