
Apakah Datuk Seri Ahmad Zahid sudah hilang kepercayaan terhadap Naib Presiden I UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Naib Presiden I UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diketepikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada terlibat secara langsung dalam pelan dan strategi parti itu untuk menjaga parti itu menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, beberapa bulan lagi.
Sebaliknya Presiden UMNO itu melantik dua lagi Naib Presiden – Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid – untuk menjadi ‘menteri angkat’ negeri bukan dikuasai UMNO sekarang ini.
Projek ‘menteri angkat’ itu diperkenalkan Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah persoalan berhubung persediaan UMNO menghadapi PRN itu dibangkitkan pada PAU 2022 yang berakhir hari ini (Sabtu, 14 Januari 2023).
Dalam ucapan penggulungannya hari ini, Zahid menyenaraikan Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi sebagai ‘menteri angkat’ Terengganu, manakala Mahdzir yang tidak menjadi ahli Kabinet dan kalah dalam PRU-15 lalu di Padang Terap, menjadi ‘menteri angkat’ bagi Kedah.
Beliau turut menyenaraikan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai ‘menteri angkat’ Negeri Sembilan. Mohamad ialah Menteri Pertahanan kerajaan PH.
Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyelaras Kelantan, manakala ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri di-Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Pulau Pinang.
Bekas Menteri Kewangan yang juga Bendahari UMNO Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula menjadi ‘menteri angkat’ bagi Selangor.
Bagaimanapun, setakat ini Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri tidak diberi peranan dalam UMNO bagi menghadapi PRN itu.
“Untuk memastikan fokus dan strategi gerak kerja dapat disusun dengan baik, sesuai dengan cadangan yang dikemukakan oleh jurucakap, kita akan melantik anggota MT (majlis tertinggi) dan menteri angkat bagi setiap negeri yang terlibat,” kata Zahid menurut MKini.
Bagi memastikan semua gerak kerja tersebut berjalan lancar pula, Zahid berkata, Majlis Tertinggi UMNO bersetuju melantik bekas ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merina Naina Merican sebagai penyelaras operasi PRN.