Zahid kata PRU-15 kena segera sebelum jelajah PH habis Februari

September 19, 2022 · Politik

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini (19 September 2022) berkata Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan sebelum akhir tahun ini.

Zahid yang akan mengetahui nasibnya sama ada dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada 40 tuduhan rasuah membabitkan isu visa asing luar negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Jumaat depan, berkata BN tidak akan membenarkan pembangkang terus mencemarkan imej dan reputasi UMNO dengan meneruskan siri jelajah mereka ke seluruh negara.

Imej dan reputasi UMNO yang memerintah Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu hingga 2018 lalu, tercemar teruk setelah beberapa pemimpin tertingginya, termasuk Zahid sendiri dihadapkan ke mahkamah, atas pelbagai tuduhan jenayah, termasuk rasuah yang dilakukan ketika mentadbir negara.

Kemuncaknya adalah pada 23 Ogos lalu apabila bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, disumbat ke penjara, setelah gagal dalam rayuan akhir sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas Presiden UMNO itu juga sedang berdepan banyak lagi pertuduhan, termasuk salah guna kuasa yang dilakukan ketika Barisan Nasional (BN) dan UMNO mentadbir negara sebelum ini.

Sebelum 2018, kegiatan pemimpin BN dan UMNO menggelapkan dan menyeleweng wang negara sentiasa tertutup rapi daripada pengetahuan rakyat, kerana mereka meletakkan ‘orang sendiri’ (memetik kata-kata Ahli Parlimen UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said) mengetuai agensi penguatkuasaan.

Namun, setelah BN dan UMNO kalah teruk pada PRU-14, banyak skandal kewangan terbongkar dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia, sebelum skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) Kementerian Pertahanan melibatkan RM9 bilion, diketahui umum pada awal Ogos lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Presiden UMNO itu berkata pelbagai pelancaran jentera parti komponen dan BN telah diadakan sekali gus bermakna gabungan itu dalam keadaan bersiap siaga untuk pembubaran Parlimen dan PRU.

“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap PH hilang apabila Tun Dr Mahathir Mohamad tak mahu serah jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain manifesto mereka gagal laksanakan.

“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan.

“BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan!,” katanya lagi.

Zahid sebelum ini dilaporkan berkata BN sanggup meredah banjir untuk berkempen bagi PRU-15 jika ia diadakan pada musim tengkujuh.

Komennya menarik kritikan daripada rakyat dan pemimpin parti parti politik.

Mengulas lanjut, Zahid berkata manifesto PH adalah langkah populis dan penuh dengan janji kosong, sambil menambah bahawa BN hanya akan membuat janji realistik berdasarkan keadaan semasa ekonomi negara.

“Manifesto yang mereka kemukakan tidak mereka laksanakan dan dianggap bukan kitab suci. Tindakan ini digunakan untuk menghalalkan mereka yang gunakan manifesto melangit hanya untuk memancing undi untuk menang.

“Namun BN sebagai blok politik yang stabil dan berpengalaman luas mentadbir tidak bersifat populis dan menjual harapan seperti PH. Yang dijanjikan ialah komitmen realistik yang boleh dicapai berdasarkan situasi prestasi ekonomi semasa,” katanya.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN di Kuala Lumpur membayangkan PRU-15 akan diadakan secepat mungkin.

Beliau juga dilaporkan telah mengulangi janjinya untuk segera membincangkan pembubaran Parlimen dengan pemimpin yang dipanggil “Top 5” UMNO.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan ‘Top 5’ UMNO akan mengadakan mesyuarat membincangkan tarikh pembubaran Parlimen pada 30 September depan.

“Top 5” UMNO merujuk kepada lima pemimpin tertinggi UMNO membabitkan Zahid, serta Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan; dan tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri; Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Cakap-cakap mengenai PRU-15 semakin berlegar apabila Ismail Sabri terus mendapat tekanan daripada partinya untuk mengadakan PRU.

Khabar angin ini terus diperkuatkan lagi apabila Ismail Sabri mengumumkan bahawa Kabinetnya akan membentangkan Bajet 2023 tiga minggu lebih awal, iaitu pada 7 Oktober, dengan penganalisis meramalkan bahawa beliau akan membubarkan Parlimen pada hari berikutnya.

Berita berkaitan
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
15 jam lalu· Politik
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
15 jam lalu· Isu semasa
Mahkamah benarkan pasport Muhyiddin dipulangkan untuk sementara
23 jam lalu· Isu semasa
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
23 jam lalu· Isu semasa
Popular
Samsuri tak tolak anjur solat hajat berhubung tuntutan wang royalti
November 29, 2023
Dua kem UMNO berbeza di Sabah, kumpulan pro Hajiji dan Bung Moktar
November 29, 2023
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
November 29, 2023
Sesi perbahasan kecoh selepas Ahli Parlimen pertikai tiada menteri dalam dewan
November 27, 2023
Lagi Politik terkini
Wahab sudah sahkan identiti ‘Mr H’ didakwa dalang rakaman tular
15 jam lalu · Politik
Samsuri tak tolak anjur solat hajat berhubung tuntutan wang royalti
24 jam lalu · Politik
Dua kem UMNO berbeza di Sabah, kumpulan pro Hajiji dan Bung Moktar
November 29, 2023 · Politik
Sesi perbahasan kecoh selepas Ahli Parlimen pertikai tiada menteri dalam dewan
November 27, 2023 · Politik
Imbuhan penjawat awam negeri diumum selepas PRK Kemaman: Ahmad Samsuri
November 27, 2023 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Agihan saksama kepada sekolah cina walaupun tak dihargai
7 jam lalu
[VIDEO] Sanusi konsisten salur peruntukan pembangkang Kedah sejak 2020
8 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok