Zahid jangan sokong Anwar-DAP semasa menghadap Agong atau berdepan tentangan

Menjelang pertemuan Presiden UMNO menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara yang dijadualkan hari ini, pemimpin UMNO pelbagai peringkat memberi kata dua kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid diingatkan jangan cuba membelakangi parti dan suara akar umbi dengan memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP walaupun kedua-duanya mempunyai hubungan sentimental antara cikgu dan anak murid.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata Presidennya itu perlu memegang kepada keputusan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 lalu iaitu menolak kerjasama dengan Anwar dan DAP.

“UMNO daripada dulu memang NO Anwar dan NO DAP. Ramai kawan-kawan dalam UMNO semua tidak setuju, bukan saya seorang saja,” katanya kepada Agenda Daily apabila ditanya berhubung pertemuan wakil UMNO dengan Agong yang dijadualkan pada Jumaat.

Jelas Zahidi, UMNO perlu memelihara dan mengukuhkan hubungan kerjasama dengan Bersatu dan PAS tanpa perlu mencari alternatif untuk membentuk jajaran politik baharu yang dicanang Zahid sebelum ini, malah secara peribadi beliau menyatakan pendirian untuk tidak menyokong Anwar.

“Mereka semua nak supaya perkukuhkan apa yang ada ini, Bersatu dengan PAS. Tak payah nak ada jajaran baharu ke apa… Saya sendiri pun memang takkan sokong Anwar ini,” katanya.

Berhubung kononnya terdapat surat pengakuan bersumpah Ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerjasama dengan Anwar, Zahidi berkata beliau tidak pernah menandatangani sebarang surat pengakuan yang didakwa wujud tersebut.

“Tidak ada pula saya dengar (Akuan Berkanun atau SD),” katanya lagi.

Sementara itu, seorang sumber yang juga Ketua UMNO Bahagian yang dihubungi Agenda Daily memberitahu sekiranya Zahid masih dengan cita-citanya untuk bersama Anwar dan DAP, ia bakal mengundang perpecahan lebih besar dalam parti.

“Kalau Presiden masih cuba-cuba mahu bekerjasama dengan Anwar dan DAP, silap-silap perpecahan lebih besar akan melanda UMNO.

“Sekarang pun sudah berpecah dan bayangkan jika Zahid masih cuba meneruskan langkah untuk bersama dengan Anwar ini dan DAP, UMNO akan menjadi lebih lemah dan akar umbi juga akan mula menyampah dengan pemimpin parti yang hanya pentingkan diri sahaja,” kata pemimpin akar umbi UMNO tersebut.

Jika Zahid melanggar keputusan parti dengan meneruskan juga hasrat untuk bersama Anwar dan DAP, sumber tidak menolak tentangan secara terbuka dan lebih kuat terhadap Zahid akan berlaku selepas ini.

“Tentangan lebih kuat terhadap Zahid dan kumpulan kecil yang bersekongkol dengan Anwar dan DAP tidak mustahil akan berlaku… sekarang akar umbi masih bersabar dan memberi peluang kepada Zahid untuk membetulkan keadaan tapi sekiranya masih berdegil jangan terkejut tentangan yang lebih kuat selepas ini,” katanya.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong memanggil wakil-wakil parti ke Istana Negara, ia bermula dengan pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, disusuli Anwar dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin parti lain.

Pertemuan itu dijalankan bagi mendapatkan maklum balas mengenai usaha memerangi wabak Covid-19 sejak darurat diisytiharkan awal tahun ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR