Zahid ingatkan Ismail Sabri usah ambil masa lama bubar Parlimen

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak mengambil masa yang lama untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Berucap menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 hari ini, beliau berkata beberapa pengumuman yang baik untuk rakyat telah dibuat oleh Perdana Menteri.

Malah, katanya beliau telah melihat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah bersedia untuk menghadapi PRU.

“Tok Mail (Ismail Sabri) pengumuman dah sedap-sedap semua dah. Jangan tunggu lama-lama,” katanya merujuk kepada beberapa pengumuman dibuat Ismail Sabri untuk kebaikan rakyat ketika menggulung perbahasan bagi pihak kerajaan hari ini.

“Dalam keadaan itu apabila saya melontarkan dalam ucapan dasar semalam dengan tema Mandat Rakyat Demi Kestabilan… saya dah dapat melihat bahawa kalau UMNO bersedia UMNO bersiap-siaga (untuk menghadapi PRU),” katanya lagi.

Menurutnya juga berkata beliau telah meminta ketiga-tiga wakil parti komponen BN untuk bersedia menghadapi PRU-15.

“Oleh yang demikian kita harus tahu bahawa apabila kita ready… we are ready for business… ertinya jentera kita harus cuba bersiap siaga,” katanya.

Pada sidang medianya kemudian, Zahid yakin Kabinet akan bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU-15.

Katanya keputusan harus dibuat Kabinet supaya Perdana Menteri dapat membawa cadangan itu untuk dipersembahkan bagi memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Beliau berkata, kepemimpinan parti tidak menekan Perdana Menteri dalam perkara itu, sebaliknya menghormati keputusan yang akan dibuat oleh Kabinet.

“Bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kami menghargai bahawa soal memahami peraturan yang ada terutama dalam Perlembagaan dan keputusan yang harus diambil dalam Kabinet, yang mana keputusan Kabinet itu akan dibawa Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Tuanku (Yang di-Pertuan Agong).

“Maka, dengan kebijaksanaan diambil oleh Perdana Menteri, saya tidak nampak ada permasalahan besar jika secara konsesus kita berpendapat, Kabinet dapat mengambil ketetapan seperti yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri apabila beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

“Soal jeda waktu atau tempoh masa, kita berasakan bahawa MoU (memorandum persefahaman) yang sudah ditandatangani antara kerajaan dan parti pembangkang, yang menetapkan tarikh akhir pada bulan Julai, maka pilihan raya sama ada mahu diadakan (PRU-15) sebelum dari tarikh itu atau selepas tarikh itu.

“Tetapi, biar pun MoU itu dihormati, tentunya beberapa pertimbangan politik atau suasana politik itu akan menjadi asas kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan, budi bicara serta kebijaksanaan untuk menentukan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR