
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Belum habis lagi menggunakan platform parti untuk menyelamatkan ‘kluster mahkamah’, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bagi ‘membebaskan’ Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Zahid dalam ucapannya pada PAU hari ini (13 Januari 2023) menuntut “perbicaraan adil” untuk bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri yang kini menjadi banduan di Penjara Kajang.
Dalam ucapan dasar nya, Zahid, yang kini timbalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan Najib kekal sebagai mangsa penindasan politik dan pendakwaan terpilih.
“Apabila fenomena Bossku melanda negara, sekumpulan kecil pemimpin UMNO terus membantah Bossku.
“Isu mahkamahnya berulang, walaupun kita tahu ia adalah pendakwaan politik dan terpilih. Sekarang dia keseorangan di sana,” kata Zahid, merujuk kepada lokasi semasa Najib di Penjara Kajang.
“Kami menuntut agar dia diberi keadilan di mahkamah. Kami menuntut agar perbicaraan yang adil diberikan kepada Najib,” katanya kepada kira-kira 3,000 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, menurut laporan MalayMail.
Tambahnya, Najib merupakan salah seorang juru kempen utama yang melonjakkan prestasi UMNO dalam beberapa pilihan raya negeri selepas parti itu dan Barisan Nasional mengalami kekalahan bersejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Najib dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos tahun lepas selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas kesalahan menggelapkan RM42 juta daripada firma pelaburan milik kerajaan, SRC International Sdn Bhd dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Sebelum itu, Najib bebas berkeliaran di negara ini dan Singapura sementara menunggu rayuan terakhirnya. Dua Pilihan Raya Negeri (PRN) menyaksikan UMNO/BN merampas semula Johor dan Melaka pada 2022 dan 2021.
Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, yang menjadi tumpuan pada PAU hari ini,mendakwa ketidakhadiran bapanya pada PRU-15 November lalu amat dirasai oleh akar umbi parti.
“Sepanjang PRU-15 ini, di peringkat akar umbi pun tidak semeriah dahulu. Datuk Najib kini hanya mahu satu perkara, mengembalikan semangat dalam UMNO dan rakyat.
“Dia tahu bahawa dia tidak bersalah, dan semangat juangnya masih kuat walaupun dalam penjara,” dakwanya.
Bagaimanapun, Najib masih mempunyai beberapa pertuduhan rasuah yang belum selesai di mahkamah yang berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB berjuta-juta dolar.
Dia juga tidak berputus asa dalam usahanya untuk keluar dari penjara dan telah memfailkan aduan antarabangsa berhubung sabitan SRC dengan Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang di samping semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan untuk didengari pada 19 Januari ini.