
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan nas dan hadis sahih untuk 'menghalalkan' perjuangan UMNO bersama Pakatan Harapan dan DAP.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadikan nas dan hadis sahih sebagai alasan UMNO menyertai perjuangan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP, dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan pimpinan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden UMNO itu menegaskan sekali lagi bahawa penyertaan itu juga bagi menolak kemungkaran dan bahaya yang lebih besar kepada parti yang kalah teruk dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Beliau mendakwa kononnya UMNO terdedah kepada perpecahan sesama ahlinya ketika era pemerintahan Perikatan Nasional (PN), tanpa sedar pergolakan di dalam parti itu berpunca daripada kepimpinannya sendiri.
“Agenda pecah perintah disasarkan terhadap parti. Inilah mudarat yang paling besar pada parti yang kesannya dapat dilihat dengan jelas menerusi keputusan PRU-15.
“Kita tidak boleh membenarkan lagi agenda seumpama itu berlangsung kepada parti ini pasca PRU-15, ” katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2022, yang berakhir hari ini selepas empat hari bersidang seperti dilaporkan BH.
Zahid yang juga dilantik oleh cikgunya sebagai Timbalan Perdana Menteri berkata langkah UMNO itu selaras dengan nas dan hadis sahih, yang mana lebih baik menolak kemudaratan, berbanding menarik sebarang kebaikan.
“Menolak kemudaratan dan bahaya lebih diutamakan, berbanding menarik sebarang kebaikan”
“Apa sahaja perkara yang boleh memudaratkan parti dan perpaduan dalaman mesti dihalang dan dielakkan,” katanya
Justeru, beliau menyifatkan, kerajaan yang ada sekarang adalah solusi terbaik untuk parti itu, bagi mengelakkan UMNO sekali lagi diratah perpaduannya.
“Insya-Allah dengan itu (kerjasama dengan PH, termasuk DAP) juga kita mampu menghadapi PRN (pilihan raya negeri) terdekat ini dengan gagah dan kuat, khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Untuk Pulau Pinang dan Selangor serta Negeri Sembilan bersedialah, kita akan menjadi sebahagian daripada kerajaan semula,” kata yakin.