
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sudah menerima surat daripada KDN mengenai keputusan RoS pada Jumaat lalu.
Keputusan memecat dan menggantung puluhan ahli malam tadi bakal memberi kesan besar kepada UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir berkata sebagai presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu bijak membezakan dendam politik dengan perjuangan parti.
“Presiden dan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO perlu buat keputusan sewajarnya sebab keputusan ini melibatkan kesan besar terhadap kebangkitan UMNO dalam PRN bagi enam negeri kelak.
“Presiden sepatutnya bijak membezakan antara dendam politik dan perjuangan untuk mengimbangkan kuasa supaya Pakatan Harapan tidak memusnahkan UMNO dalam diam.
“MKT perlu seru presiden untuk bertindak dengan keprihatinan terhadap masa depan UMNO bukan atas isu peribadi apabila dikritik oleh ahli parti atau rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Tegasnya, Ahmad Zahid sewajarnya tidak mengulang kesilapan yang sama setelah memecat Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini kerana parti itu tidak boleh tewas lagi dalam PRN nanti.
Sementara itu, bekas Exco Pemuda UMNO, Ibdillah Ishak melahirkan kekecewaannya terhadap keputusan MKT yang disifatkan berasaskan peribadi.
“Dek kerana terlalu banyak kes peribadi, parti dijadikan kuda tunggangan dan perisai untuk survival politik diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook.
Dalam kenyataan sama beliau menegaskan ahli UMNO kini boleh menilai sendiri apa yang berlaku.
“Ahli yang lantang bersuara menongkah arus ditakut-takutkan dengan terma proses ‘pembersihan’, ‘pemecatan’ dan ‘penggantungan’ dengan alasan ‘mensabotaj parti’.
“Proses pemecatan dan penggantungan pun tidak lagi dihormati, jauh sekali telus. Pihak yang dituduh ‘mensabotaj’ tidak pun diberi ruang bela diri. Kini ahli-ahli UMNO boleh menilai sendiri,” katanya.