Zahid di Jerman, jangan pula muncul audio Najib-Anwar berbual mesra hadapi PRN

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bertolak ke Jerman, kelmarin untuk menjalani rawatan sakit belakang di sebuah hospital, tetapi tidak nampak kelibat rakan karibnya Datuk Seri Najib Razak menghantar beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Juga tidak kelihatan kelibat cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan kedua-duanya cukup mesra menyusun strategi UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Pemimpin tertinggi parti yang kelihatan menghantar Zahid hanya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. Yang lain mungkin mengiringi doa dari jauh semoga Presiden UMNO itu dipermudahkan segala urusan ketika di Jerman.

Atau Najib masih marah kepada Zahid kerana kegagalan Presiden UMNO itu melobi supaya Majlis Tertinggi (MT) UMNO memilihnya sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Anwar pula mungkin masih marah setelah ditipu anak muridnya itu yang pada awal menyokongnya sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9, tetapi selepas bersama-sama menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zahid berpaling tadah dengan memberi sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM.

Namun, mungkin juga kedua-duanya – Najib dan Anwar – sibuk menyusun strategi bagi menghadapi PRN Melaka bulan depan, setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 8 November, manakala pengundian awal dan biasa dilaksanakan pada 16 dan 20 November.

Apa lagi Najib adalah pemegang amanah parti UMNO semasa ketiadaan Zahid, walaupun Majlis Tertinggi (MT) melantik Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO menghadapi PRN Melaka.

Walaupun Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan pecah amanah dalam kes SRC International dan dihukum penjara serta denda, Zahid mengamanahkan kepada beliau untuk menjaga UMNO.

Hal ini dinyatakan bekas Perdana Menteri itu ketika memohon kepada mahkamah bagi mengubah tarikh penyerahan dan pemulangan pasportnya untuk membolehkan beliau ke Singapura menziarahi anaknya yang akan bersalin.

Najib, 68, selaku pemohon yang memfailkan notis usul pada 21 Oktober lalu, memohon untuk meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya kepada mahkamah daripada 20 Oktober sehingga 22 November kepada 25 Oktober sehingga 6 Disember.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam afidavit sokongannya berkata, beliau juga diamanahkan untuk membantu jentera parti UMNO menghadapi PRN Melaka pada 20 November memandangkan Zahid pada masa itu, akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan tulang belakang.

Tanggungjawab Najib yang berat dalam menjaga amanah itu – lebih berat daripada tugas Mat Hasan dan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden – digalas beliau apabila terus berada di Melaka untuk mengawasi gerak kerja jentera pilihan raya UMNO, semalam.

Bekas Presiden UMNO itu – yang dilihat kembali dalam arena politik tanah air setelah UMNO mencapai kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu – setiap hari turun padang bertemu masyarakat Melaka.

Najib juga adalah antara pemimpin yang boleh membuat kata putus mengenai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang akan diketengahkan pada PRN kali ini, selain Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

Apapun, ketika ketiadaan Zahid, jangan pula muncul klip audio Najib berbual mesra dengan Anwar menyusun strategi PRN Melaka kerana akan membuatkan Presiden UMNO cemburu.

Zahid dan Anwar sebelum ini menafikan berbual menerusi telefon berkenaan strategi politik ketika Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, namun akhirnya mengakui itu adalah perbualan mereka berdua.

BERITA BERKAIT
POPULAR