
Semua calon BN akan menjalani tapisan PDRM, SPRM dan Jabatan Agama Islam.
Umum mengetahui dalang utama desakan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana sibuk meratib setiap hari supaya Parlimen dibubarkan.
Walaupun Presiden UMNO itu yang paling kuat mendesak Parlimen dibubarkan, tetapi nampaknya Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula terpaksa memberi penjelasan sehingga menyalahkan Jemaah Menterinya kononnya tidak menyokongnya.
Ironinya, Ismail Sabri hanya menyalahkan Menteri dilantiknya selepas Parlimen dibubarkan tetapi tidak mula semasa berada dalam kerajaan sebelum dibubarkan.
Bagaimana seorang PM boleh menyalahkan orang lain, bukankah sepatutnya sebagai ketua perlu menunjukkan contoh terbaik dengan memikul tanggungjawab dan tidak menyalahkan orang lain.
Ismail Sabri berkata hilang sokongan selepas 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju PRU-15 diadakan semasa musim banjir tetapi sebenarnya dalam surat itu tidak pula menyatakan menarik sokongan kepadanya sebagai PM.
Mungkin Ismail Sabri tidak memahami tujuan surat tersebut dihantar, walhal surat tersebut sama sekali berbeza dengan surat dihantar Zahid dan rakannnya, Datuk Seri Najib Razak ke Istana Negara semasa krisis politik sebelum ini.
Surat dihantar Menteri PN tidak ada satu baris ayat pun menyatakan menarik sokongan terhadap PM, lain ceritanya dengan kandungan surat dihantar Zahid dan Najib sebelum ini yang secara terang-terangan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM.
Malah, surat Zahid dan Najib itu juga secara jelas menjadi punca kerajaan PN ditadbir Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang majoriti dan terpaksa meletak jawatan bagi mengelak kemelut politik berpanjangan.
Senario dihadapi Ismail Sabri semasa 12 Menteri PN adalah tidak sama dengan senario ketika Zahid bersama Anwar berkomplot untuk menjatuhkan Muhyiddin atau sebenarnya Ismail Sabri ini sudah buta hatinya?
Dalam alasan terbaharu diberikan Ismail Sabri bagi menghalalkan langkah membubarkan Parlimen, dikatakan pula kerajaannya tidak dapat bertahan dan dikritik oleh parti komponen yang berada dalam kerajaan.
Kritik bagi membetulkan kesilapan dan mengelakkan negara terjerumus dalam kancah lebih buruk tidak bermakna kerajaan Ismail Sabri hilang majoriti, malah belum terbukti kerajaan dipimpinnya tidak stabil seperti didakwa.
Sesuatu yang melucukan apabila seorang PM yang fasih berbahasa Melayu tidak dapat memahami kandungan surat yang dihantar 12 Menteri PN sebelum ini, mungkin sepatutnya Ismail Sabri mendapatkan nasihat daripada peguamnya berhubung isi surat tersebut terlebih dahulu.
Usaha Ismail Sabri untuk mengubah naratif kononnya hilang sokongan walhal rakyat secara amnya mengetahui siapa sebenarnya yang mahukan PRU-15 disegerakan, lain tidak bukan adalah Presiden UMNO, Zahid sendiri.
Rakyat sendiri melihat bagaimana Zahid semasa himpunan raksasa yang diadakan dengan mengumpulkan penyokong UMNO berjaya memalukan Ismail Sabri, insiden ‘boo’ dan jeritan ‘bubar’ sebelum ini sudah jelas memperlihatkan siapa sebenarnya yang mendesaknya supaya PRU-15 diadakan segera.
Naratif baharu kononnya kerajaan ditadbirnya hilang sokongan akibat tindakan 12 Menteri sebelum ini adalah tidak masuk akal, rakyat bukan bodoh lagi seperti sebelum ini.
Media arus perdana mungkin boleh cuba membantu Ismail Sabri untuk mengubah naratif baharu tersebut supaya dilihat memihak kepadanya, namun perlu diingat bahawa media alternatif kini merupakan sumber utama orang ramai.
Lebih menghairankan, Ismail Sabri pula yang terpaksa memberi penjelasan berhubung pembubaran Parlimen tetapi tidak pula Zahid.
Mengapa perlu beban tersebut dilepaskan kepada Ismail Sabri walhal realitinya beliau hanya mengikut perintah Presiden dan partinya yang mahukan PRU-15 disegerakan.
Sepatutnya Zahid yang menjelaskan kepada rakyat seperti dilakukannya kepada penyokong UMNO mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen sebelum ini, atau adakah UMNO takut sokongan rakyat lari sekiranya Zahid yang memberikan penjelasan.
Kontroversi semasa perhimpunan MIC baru-baru ini sudah mencalarkan imej Zahid apabila rakyat mengetahui muslihat sebenarnya UMNO mahu PRU-15 diadakan, ia bukan sebenarnya demi rakyat tetapi sebaliknya demi menyelamatkan kluster mahkamah yang semakin tersepit.
Jadi, betul lah tanggapan rakyat sebelum ini, PRU-15 bukan untuk rakyat tetapi adalah demi kesinambungan kuasa kumpulan kluster mahkamah yang terpalit dengan pelbagai salah laku.