Zahid cuba tarik MP PN sokongnya jadi PM, tak yakin dengan Anwar

Beberapa Ahli Parlimen (MP) daripada Perikatan Nasional (PN) mendedahkan dihubungi agen kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cuba melobi bagi pihaknya untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri (PM) baharu.

Perkara itu tidak mengejutkan apabila Zahid dalam surat akuan yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong bersama-sama beberapa MP UMNO yang sekapal dengannya tidak menamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM, ia walaupun terdapat pakatan sulit antara cikgu dengan anak muridnya itu.

Menurut sumber, agen kepada Zahid sudah menghubungi MP daripada GPS, PAS dan Bersatu yang cuba memujuk mereka supaya menyokong beliau, ia memandangkan sudah terdapat 13 MP UMNO yang dikatakan sudah bersama-sama dengannya ketika ini menerusi pendedahan surat akuan yang disiarkan dalam media sosial semalam.

Seorang MP Bersatu memberitahu agen tersebut menghubungi dan mengajaknya untuk bersama-sama dalam kem Zahid, ia bagi memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak tumbang dan hanya PM sahaja ditukar.

“Zahid disebut-sebut akan mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri sekiranya Tan Sri Muhyiddin gagal memperoleh sokongan majoriti di Parlimen atau meletak jawatan.

“Walaupun UMNO tidak akan memiliki jumlah sokongan yang cukup, Zahid dijangka akan memujuk Ahli-ahli Parlimen daripada GPS, PAS dan Bersatu untuk menyokong beliau,” kata sumber itu kepada Agenda Daily.

Langkah terbaharu Zahid ini susulan tidak ada perjanjian hitam putih yang ditawarkan Anwar terutamanya melibatkan komitmen daripada DAP supaya kes-kes mahkamah yang dihadapinya akan digugurkan sebaik terbentuk kerajaan baharu.

“Zahid perlu mendapatkan sokongan dengan cara mana sekalipun bagi memastikan beliau dilantik sebagai PM supaya beliau dapat menyelamatkan diri daripada kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi.

“Presiden UMNO itu tidak akan menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kerana bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu ‘No Anwar No DAP’. Beliau juga dilihat sukar untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP kerana tindakan itu akan menyebabkan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu marah,” katanya lagi.

Daripada maklumat beberapa MP yang dihubungi agen Zahid, mereka diberitahu kerajaan PN perlu dijaga dan dikekalkan tetapi perlu diterajui UMNO, pilihan PM yang ada setakat ini selepas Muhyiddin disingkirkan adalah Zahid dan tiada calon lain.

“Beliau sebaliknya akan menggunakan naratif kerajaan baharu ini perlu diterajui oleh UMNO selaku parti Melayu dan Islam terbesar di negara ini.

“Zahid juga tahu sekiranya dia menyokong Anwar menjadi PM, Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggugurkan kes-kes mahkamah beliau kerana dendam PH kepada kumpulan kleptokrat. Sebaliknya Zahid tahu, sebagai PM dia berkuasa ‘melakukan sesuatu’ bagi membolehkan kes- mahkamahnya digugurkan,” katanya lagi.

Zahid sengaja dilihat senada dengan blok parti pembangkang khususnya dengan Anwar untuk menimbulkan retorik kerajaan gagal dan menderhaka, sebaliknya niat utamanya adalah bagi mendesak Muhyiddin meletak jawatan dan dirinya ditabalkan sebagai PM.

Gerakan menjatuhkan kerajaan PN dilihat semakin giat dijalankan mutakhir ini kerana Zahid bakal berhadapan perbicaraan di mahkamah pada 24 Ogos nanti.

Pada masa ini UMNO hanya mempunyai 38 kerusi Parlimen. Beliau memerlukan sokongan daripada parti-parti lain dalam PN untuk menubuhkan kerajaan baharu yang akan dipayungi UMNO.

Menurut sumber dalaman UMNO, kem Zahid sedang giat memujuk MP PN untuk menyokong beliau sebagai PM menjelang Parlimen dibuka pada September ini.

Walau bagaimanapun, perancangan Zahid untuk mendapatkan sokongan majoriti dengan sokongan daripada MP PN dilihat sukar dicapai.

Muhyiddin difahamkan dikatakan bertegas dengan pendirian Bersatu untuk tidak bersekongkol dengan ‘kluster mahkamah’.

BERITA BERKAIT
POPULAR