
Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman.
Semakin ramai pemimpin parti politik, terutama pembangkang, melahirkan rasa tidak senang dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Barisan Nasional (BN) yang tidak mempedulikan nasib rakyat, terutama apabila merancang mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun pada musim tengkujuh dan banjir.
Seorang daripadanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kesal dengan kenyataan Pengerusi BN itu yang menegaskan parti tersebut sanggup meredah banjir jika PRU-15 diadakan tahun ini.
“Ini menunjukkan betapa kemaruknya Zahid dan BN terhadap kuasa sehingga tidak kisah dan peduli mengenai kesusahan rakyat sewaktu bencana banjir.
“Mana perikemanusiaan beliau (Zahid) ketika mengeluarkan kata-kata ini? Bencana banjir bukan benda yang boleh dipandang ringan.
“Rakyat kehilangan harta benda dan orang tersayang akibat bencana banjir. Amat kejam apabila seorang presiden parti dan juga Ahli Parlimen yang sudah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat mengeluarkan kenyataan begini,” katanya.
Lebih mesra dengan panggilan Rara, beliau berkata di Bentong, ada lagi infrastruktur yang masih tidak dibaik pulih akibat bencana banjir yang melanda pada Disember 2021 lalu.
“Bahkan ada penduduk yang masih belum mampu hidup seperti dahulu lagi.
“Zahid perlu malu dengan diri sendiri dan bermuhasabah. Jangan terlalu kemaruk sehingga sanggup memperjudikan keselamatan dan kebajikan rakyat ketika bencana,” katanya lagi.
Sepatutnya Zahid mendesak menteri-menteri BN untuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi banjir agar rakyat tidak terkesan dengan lebih teruk seperti tahun lepas.
Sabtu lalu (17 September), Zahid berkata BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU-15 diadakan tahun ini, sambil menegaskan isyarat yang diberikan ahli parti supaya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.
Beliau berkata, ia adalah berdasarkan laungan ‘Bubar’ oleh lebih 10,000 pemuda BN yang bergema dalam Stadium Titiwangsa.
Katanya, susulan isyarat yang jelas itu pihaknya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dalam masa terdekat ini.
“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding.
“Isyaratnya adalah jelas dan nyata…’top five’ diberikan mandat untuk berbincang tetapi tarikh belum ditetapkan.
“Jangan bincang sahaja…kena cepat jangan tunggu lama-lama kerana penghasut sedang bekerja keras…PRU15 tidak boleh ditunggu-tunggu lagi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa.