Zahid beritahu UMNO akan diberi jawatan PM dalam jajaran baharu

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (MT) diberitahu Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO akan diberi jawatan Perdana Menteri dalam jajaran baharu disertainya, lapor Utusan Online.

Portal tersebut berkata keyakinan itu dinyatakan semasa pertemuan dengan ahli MT, ia selepas spekulasi Zahid dikatakan sedang cuba membawa UMNO untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin sebab itu, majoriti ahli MT memberi sokongan kepada Ahmad Zahid untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

“Tetapi kalau jajaran baharu itu membabitkan DAP, bukan sahaja akar umbi UMNO tidak akan terima, malah orang Melayu akan tolak UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” kata sumber Utusan tersebut.

Menurut laporan itu lagi, Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan secara lebih terperinci parti yang akan terlibat dalam jajaran baharu yang sedang dirancangnya itu.

Sebelum ini, seorang ahli MT, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa Zahid menukar sokongannya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan PN.

Terdahulu, Zahid menerusi kenyataan Biro Politik UMNO selepas bermesyuarat pada 21 Jun lalu mengeluarkan satu kenyataan memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk memanggil sidang Parlimen atau berdepan tindakan tegas daripada parti tersebut.

Tempoh tersebut akan berakhir pada 7 Julai ini dan spekulasi mengatakan Zahid merancang untuk mendesak Menteri dan Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan meletakan jawatan mereka serta-merta.

Sebelum ini, Zahid dikatakan akan bekerjasama dengan Anwar untuk membentuk kerajaan bersama DAP dalam rakaman perbualan antara keduanya yang viral.

Walaupun menafikannya, Ahmad Zahid dan Presiden PKR itu sama-sama tidak membuat laporan polis mengenainya.

POPULAR