Zahid beri tempoh 14 hari, akar umbi desak pemilihan disegerakan

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jika Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh mendesak sidang Parlimen dibuka segera dengan memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional, ia bermakna pemilihan parti juga boleh diadakan secepat mungkin tahun ini, kata akar umbi.

Zahid perlu berlaku adil dengan gesaannya berhubung pembukaan sidang Parlimen dan tidak berdolak-dalik dalam isu pemilihan parti memandangkan parti juga kini berdepan permasalahan hal dalaman termasuk kredibiliti melibatkan Presiden itu.

Seorang pemimpin akar umbi, Timbalan Ketua UMNO Setiawangsa, Datuk Mohd. Irwan Rizal Mohd. Ali Napiah menyifatkan selain sidang Parlimen menjadi keutamaan Zahid, beliau juga perlu memberikan perhatian dalam kemelut dalaman yang dihadapi parti ekoran timbul sokongannya terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM).

“Ini bagi membersihkan nama Presiden dan yang paling utama nama baik UMNO. Ini juga perlu diselesaikan segera.

“MKT (Majlis Kerja Tertinggi) perlu mesyuarat dan mengumumkan keputusan mereka berkenaan mesyuarat perwakilan dan segala isu berbangkit mengikut segala aturan yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, tempoh 14 hari yang diberikan Zahid menerusi kenyataan selepas Mesyuarat Biro Politik baru-baru ini boleh mengelirukan rakyat.

“Maka, timbul persoalan siapa yang mengeluarkan kenyataan 14 hari tersebut? Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa.

“Maka, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk menetapkan sebarang tarikh bagi memanggil sidang parlimen kecuali Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang pemimpin senior parti, Datuk Seri Nazri Aziz membidas Zahid supaya tidak memandai-mandai membuat keputusan bersendirian tanpa berbincang terlebih dahulu berhubung tempoh 14 hari yang diberikan kepada Kerajaan PN untuk membuka sidang Parlimen.

Nazri berkata Zahid sekali lagi membuat keputusan tanpa merujuk kepada Ahli Parlimen UMNO apabila membuat desakan tempoh 14 hari terhadap kerajaan yang disifatkannya adalah sama sekali tidak wajar.

“Saya tengok Zahid tak panggil mesyuarat Majlis Tertinggi, dia sendiri sahaja tak bincang dengan kita.

“Ini tak betul 14 hari tak boleh berlaku memang satu desakan yang tak boleh berlaku ingat panggil lah Ahli-Ahli Parlimen jangan pandai-pandai sendiri sahaja,” katanya kepada Agenda Daily semalam.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli-ahli Dewan Rakyat.

POPULAR