
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Berkemungkinan beberapa pemimpin dalam UMNO akan dipecat esok selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat sesuatu yang besar akan berlaku esok.
Presiden UMNO itu mengesahkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung esok akan membuat pembersihan dalam parti dan membayangkan keputusan penting akan diumumkan selepas mesyuarat nanti.
“Tunggulah apabila MT bermesyuarat, untuk dia (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) secara individu tidak penting. Saya kata dalam Perhimpunan Agung (UMNO) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran, termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada pilihan raya umum lalu dan mungkin termasuk orang yang `menembak kaki sendiri’ ketika pilihan raya diadakan
“Bila besar-besaran itu maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa, insya-Allah esok malam akan terasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama EXCO Luar Bandar (MEXCLUB), di sini, hari ini.
Ditanya sama ada keputusan itu dibuat esok, Ahmad Zahid meminta media untuk datang beramai-ramai bagi mengetahui senarai mereka yang terbabit.
“Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus embargo maklumat itu sehingga waktunya,” katanya dipetik laporan BH.
Khairy sebelum ini dilaporkan media bakal berdepan tindakan disiplin kerana kelantangannya.
Difahamkan mesyuarat MT UMNO esok akan menentukan status keahlian Khairy, yang juga bekas Menteri Kesihatan.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini secara terbuka ‘mengkritik’ beberapa pemimpin UMNO, selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.
Khairy, yang tewas bertanding pada PRU15 di Parlimen Sungai Buloh, November lalu, secara terbuka turut memaklumkan mahu ‘membersihkan’ UMNO jika menang di kerusi itu.
Khairy juga menarik perhatian apabila mendakwa terdapat ‘perwakilan import’ ketika proses pengundian usul tambahan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada Persidangan Agung UMNO 2022, baru-baru ini, yang mana ia dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan UMNO akan memutuskan tarikh pemilihan parti, termasuk bagi jawatan tertingginya pada mesyuarat MKT UMNO, esok.
Beliau berkata ia membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan, selain peringkat bahagian, yang dijangka diadakan serentak di 191 bahagian seluruh negara, termasuk untuk memilih pucuk pimpinan tertingginya.