
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
UMNO mengalu-alukan bekas ahlinya bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) walaupun bukan sebagai perwakilan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata mereka sentiasa membuka pintu kepada bekas ahli untuk menghadiri PAU yang bakal diadakan kali ini, malah buat julung kalinya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP dijemput ke perhimpunan tersebut.
“Siapa-siapa nak datang ahli yang bukan perwakilan atau bekas ahli-ahli (UMNO) yang mahu (datang), atau kerinduan mereka terhadap perhimpunan agung ini, sila datang. (Mereka) yang dari lain-lain parti juga boleh datang.
“Kita harapkan PAU 2023 ini adalah suatu titik permulaan bagi kita untuk menyelesaikan permasalahan atau isu yang ada sekarang ini,” katanya dipetik laporan Awani hari ini.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri terdahulu menghadiri rumah terbuka sambutan Hari Gawai di Kapit.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki secara berseloroh ‘mengajak’ mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui kain samping UMNO mereka pada PAU 2023, yang dijadual pada 7 Jun hingga 10 Jun ini.
UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.