Yang buat keputusan Bahagian pecat saya adalah Ku Nan: Tun Faisal

Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa keputusan untuk memecatnya daripada UMNO didalangi oleh Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Putrajaya itu mendedahkan Tengku Adnan atau Ku Nan sendiri mengetahui lebih awal keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin dan mahu beliau dipecat.

“Siapa yang panik sebenarnya? Saya atau Ku Nan (Tengku Adnan)? Saya tak tahu pun lagi apa keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin.

“Yang tahu mengenai keputusan ini adalah Ku Nan. Yang memaklumkan jawatan kuasa bahagian dan membincangkan hal keputusan jawatan kuasa sebagai salah satu topik dalam mesyuarat bahagian adalah Ku Nan.

“Malah, yang membuat keputusan supaya UMNO Bahagian mencadangkan agar saya dipecat juga Ku Nan. Bukan saya,” katanya menerusi satu kenyataa.

Jelasnya, maklumat berhubung cadangan pemecatannya itu diketahui menerusi beberapa maklumat yang diberitahu oleh ahli jawatan kuasa bahagian yang hadir semasa mesyuarat tersebut.

Malah, Tun Faisal berkata tidak semua ahli jawatan kuasa bahagian bersetuju dan menyokong tindakan Ku Nan dan beliau ada saksi mengenainya.

“Dulu pun semasa buat aduan, mereka mengadu kepada saya mereka diberi tekanan untuk tanda tangan surat aduan yang disediakan oleh UMNO Bahagian, bukannya mereka tandatangan secara rela,” katanya.

Beliau juga mahu Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya bersumpah bahawa mesyuarat itu tidak membincangkan hal untuk memecatnya daripada parti.

Untuk rekod, Tun Faisal sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun sejak Mac tahun lalu dan kini sedang dalam proses rayuan.

BERITA BERKAIT
POPULAR