Yakin menang, semua calon BN tandatangan SD elak lompat parti

Menyedari bakal menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Barisan Nasional (BN) mewajibkan semua calonnya menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi mengelak mereka lompat parti.

Syarat itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, ia bertujuan bagi memastikan kemenangan tidak dicuri lagi seperti yang berlaku sebelum ini apabila empat orang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Kita sedang buat persiapan pasukan peguam untuk meneliti tahap kesetiaan semua calon bagi memastikan tiada lagi seseorang yang menang atas tiket BN melompat (keluar parti) bagi kestabilan politik di negara, terutamanya di Melaka.

“Langkah menandatangani SD perlu dilakukan kerana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum ada lagi akta atau enakmen lompat parti, maka kita terpaksa membuat aku janji ini.

“Beberapa lagi dokumen perjanjian lain akan ditandatangani semua calon esok dan satu daripadanya SD itu sebagai peringatan jika sudah menang pilihan raya nanti, jangan senang-senang nak lompat parti pula,” katanya dipetik laporan portal BH.

Berhubung calon BN yang diletak kali ini, Mohamad berkata ia terdiri daripada calon muda berkelayakan serta mempunyai latar belakang politik dan pendidikan yang baik

“Insya-Allah, mereka ini pun bukan sembarangan orang kerana mereka juga pemimpin di peringkat bahagian, tetapi mereka dahulunya duduk lama di bawah, jadi penyandang yang sudah berkhidmat kira-kira tiga penggal itu beri laluan kepada pemimpin pelapis di DUN masing-masing,” katanya.

Langkah tersebut diambil bagi memastikan hasrat parti untuk meremajakan parti dapat dilaksanakan sejajar dengan inspirasi untuk mengubah lanskap politik negara.

“Langkah ini membolehkan kita melakukan proses meremajakan dan mentransformasikan parti seperti yang dihasratkan sebelum ini.

“Saya selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya BN mengambil peluang ini untuk menterjemahkan hasrat parti untuk melakukan proses peremajaan dengan perlu memberi peluang pelapis muda untuk mengambil tempat (sebagai calon) dalam pilihan raya,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi.

Ketika ini PH mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (7), Amanah (2) dan PKR (2), manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 12 kerusi dan PN (1).

BERITA BERKAIT
POPULAR