Yakin menang besar punca Tok Mat kata BN sedia terima PN

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin pasti dan itu menyebabkan Datuk Seri Mohamad Hasan membuat tawaran awal kepada kesediaan bekerjasama semula dengan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Pilihan Raya BN itu sangat teruja dengan kemenangan besar yang bakal menjadi milik gabungan itu pada 20 November nanti, namun adalah lebih baik sekiranya kemenangan itu dikongsi bersama dengan rakan-rakan parti peringkat kerajaan pusat.

Pendirian Mohamad itu agak bertentangan sebelum bermula penamaan calon PRN Melaka, bahkan dengan penuh yakin mengumumkan untuk bertanding kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara solo tanpa perlu sebarang bantuan daripada PAS dan Bersatu.

Malah, UMNO juga mengambil langkah berani dengan meletak syarat seakan menggugut PAS supaya menggunakan lambang sendiri dan bukannya lambang PN jika mahu mengelak pertembungan tiga penjuru.

Saingan banyak penjuru seperti yang diramalkan berlaku pada PRN Melaka apabila BN, PN, Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti kecil lain turut masuk bertanding dengan meletak calon masing-masing.

Baharu beberapa hari bermula tempoh berkempen, nampaknya BN semakin mendapat rentak dan yakin sekurang-kurangnya 20 kerusi DUN di Melaka bakal menjadi milik mereka pada PRN kali ini.

Menurut sumber, hasil tinjauan di lapangan, majoriti pengundi teruja dengan manifesto BN dan semakin mendapat mempercayai gabungan itu untuk kembali memerintah walaupun bergaduh sesama sendiri dan menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Ketua Menteri daripada UMNO sendiri.

Menyedari kekuatan BN yang bakal menang besar, Mohamad mengambil pendirian terbuka dan membuat tawaran awal agar rakan parti, PN yang membentuk kerjasama di peringkat kerajaan pusat tidak terlepas untuk bersama-sama memerintah negeri Melaka.

“Kalau ada rakan-rakan (parti dalam PN) mahu bersama dengan kita, tiada isu pun, tetapi kita tidak mahu ada ugutan, satu keadaan di mana kerajaan, Ketua Menteri sentiasa diugut setiap hari,” katanya Mohamad semasa pelancaran manifesto BN semalam.

Untuk rekod, Mohamad semalam sudah mengumumkan salah satu janji dalam manifesto yang penting adalah untuk menambah lima lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan atas alasan supaya dapat mewujudkan kestabilan.

Bagaimanapun, pelaksanaan cadangan tersebut memerlukan pindaan Perlembagaan dan memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga.

Oleh sebab itu, BN sudah awal-awal membuat tawaran untuk kembali bekerjasama kerana yakin kemenangan yang diperoleh pastinya melebihi dua pertiga pada PRN Melaka.

Namun, untuk kerjasama tersebut berjaya, Mohamad berkata UMNO perlu menjadi teras untuk menubuhkan kerajaan tersebut dan bukan parti lain.

“Kita terbuka dan apa yang kita mahu perlu ada parti teras (menerajui kerajaan negeri). Kalau mahu kestabilan, formulanya kena ada parti teras untuk tubuhkan kerajaan.

“Kita tidak mahu lagi dan jangan ada pihak yang cuba menggugat, kerajaan akan jatuh, rakyatlah yang susah,” katanya lagi.

Persoalan juga timbul dikalangan pemerhati politik yang seakan-akan memandang sinis terhadap tawaran untuk bekerjasama semula itu, malah ada juga yang melihat BN sudah melihat realiti sebenarbakal berlaku pada PRN nanti.

Realitinya, kempen di PRN Melaka tidak semudah disangka pada ketika peraturan ketat dikenakan kepada calon bertanding, malah ceramah besar mahupun secara berkumpulan sudah lagi tidak dibenarkan dan ia ternyata sangat sukar.

Berbeza dengan kaedah kempen sebelum ini, tidak semua parti dapat menyesuaikan diri dengan peraturan baharu ini, jentera akar umbi PH mahupun PN dan BN juga terjejas. Langkah yang kreatif dan luar kebiasaan norma sebelum ini perlu digunakan sebaiknya.

Malah, orang ramai juga sebenarnya masih risau dengan penularan Covid-19 semasa PRN Melaka dan kebimbangan tersebut juga akan mengakibatkan mereka tidak keluar mengundi.

Apabila peratusan pengundi yang keluar kecil, peluang untuk mana-mana parti memperoleh kemenangan semakin rendah dan gelanggang juga sudah menjadi sama rata.

BERITA BERKAIT
POPULAR