Wira Warisan bidas AMK jangan dabik dada, sedia bergerak solo

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman membidas Angkatan Muda Keadilan (AMK) kerana angkuh.

Tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang sombong menghentam Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengancam untuk memutuskan hubungan dengan Parti Warisan Sabah mengundang rasa tidak puas hati Ketua Wiranya, Datuk Mohd Azis Jamman.

Azis membalas sayap PKR tersebut dengan berkata Warisan tidak ada masalah sekiranya PKR mahu bergelak solo semasa pilihan raya umum (PRU) di Sabah nanti memandangkan pengaruh parti tersebut tidak sehebat mana yang digambarkan walaupun mereka lebih awal bertapak di negeri itu sebelum penubuhan Warisan.

“Jika AMK merasakan mereka ingin bergerak sendiri dalam PRU akan datang termasuk di Sabah, kita tidak menghalang dan Warisan pun tidak terhegeh-hegeh untuk bergantung harap dengan PKR.

“Biar keputusan PRU lepas menjadi bukti… Sebelum Warisan lahir di Sabah, PKR merupakan parti pembangkang utama di Sabah dan semasa zaman kegemilangan dan kekuatan PKR ketika slogan reformasi bergema seluruh negara masa itu, kalau tidak silap jumlah kerusi terbanyak pernah dimenangi PKR (di Sabah) hanya lapan kerusi,” kata Azis kepada Agenda Daily dalam satu kenyataan.

Malah, Azis berkata PKR juga tidak perlu terlalu mendabik dada walhal rekod pencapaian semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas juga tidak memuaskan apabila sekadar hanya mampu menangi dua kerusi yang mereka bertanding.

“Rekod terbaik PKR di Sabah tidak ada yang perlu mereka banggakan malah PRN yang lepas bila PKR bertanding lapan kerusi tapi hanya mampu menang dua sahaja.

“Sedangkan mereka bertanding menggunakan logo mereka sendiri berbanding DAP yang menggunakan logo Warisan telah menang hampir semua kerusi yang mereka tandingi,” katanya lagi.

Menurut Azis lagi, sikap PKR yang mahu berkonfrontasi dengan parti tempatan tidak akan menguntungkan mereka.

Terdahulu, Kongres Nasional AMK 2020 yang berlangsung hari ini, menjadi medan mengecam bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir yang disifatkan para perwakilan sebagai dalang utama disebalik kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Seorang perwakilan AMK dari Sabah Wendy Agung Baruh juga menggesa supaya PKR tidak mengemis bantuan pihak lain termasuk daripada Dr Mahathir dan Warisan.

POPULAR