Warisan pula tuntut kerusi KM

January 7, 2023 · Politik

Tekanan terus diberikan terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kemelut politik yang berlaku di negeri itu dalam sehari dua ini yang membawa kepada penarikan sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepadanya.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal yang sebelum ini berdiam diri, hari ini bersuara sambil menyalahkan Hajiji di atas kekecohan semasa yang melanda politik negeri itu.

Menurutnya, Hajiji harus dipersalahkan atas kekecohan itu kerana mengekalkan jawatan KM selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun Bersatu dan Perikatan Nasional tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau menegaskan Hajiji kini terpalit dengan krisis Perlembagaan dan politik kerana keputusan dan tindakannya keluar daripada Bersatu dan Perikatan Nasional.

Shafie berkata Hajiji kini “bersendirian” dan tiada kepastian mengenai sokongan majoriti DUN dan harus meletakkan jawatan.

“Tiada siapa tahu sama ada beliau kini akan mendapat kepercayaan majoriti dan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai hak untuk memilih ahli lain untuk menjadi KM dengan mengemukakan pilihan mereka kepada Yang Dipertuan Negeri pada bila-bila masa,” katanya menurut MalayMail.

Setakat ini, Hajiji mendapat sokongan daripada 15 bekas ADUN Bersatu; masing-masing tujuh daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pakatan Harapan (PH), enam daripada Parti Solidariti Tanah Airku, masing-masing seorang daripada Pakatan Harapan Rakyat Sabah, Parti Progresif Sabah dan PAS Sabah.

Bagaimanapun difahamkan, ADUN PH juga akan memberi sokongan kepada BN dan Warisan membentuk kerajaan negeri baharu, sesuai dengan kerjasama ketiga-tiga parti itu dalam Kerajaan Persekutuan.

Shafie yang membawa 19 ADUN dan tiga ahli Parlimennya menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU-15 lalu, mengingatkan bahawa perlu ada pematuhan ketat kepada undang-undang dan Perlembagaan, yang menyatakan pemimpin parti politik yang menguasai majoriti DUN perlu memegang jawatan KM.

Mengikut logik itu, Warisan, yang memperoleh majoriti kerusi selepas PRN 2020, sepatutnya memegang jawatan itu, kerana GRS bukanlah parti berdaftar atau gabungan pada masa itu.

Shafie berkata, sebarang kenyataan Hajiji atau mana-mana penyokongnya daripada kalangan bekas anggota Bersatu untuk menenangkan rakyat tidak akan menghilangkan spekulasi bahawa kedudukan Hajiji sebagai KM tidak boleh dipertahankan.

“Membuat kenyataan membentuk parti politik baharu bagi mengekalkan kedudukannya bukan sekadar bukti ‘lompat parti’ tetapi mengkhianati mandat rakyat Sabah yang mengundi GRS di mana ia diterajui oleh Bersatu dan Perikatan Nasional.

“Kita ikut undang-undang. Ini adalah Perlembagaan. Hajiji bukan pemimpin parti dan tidak mempunyai parti. Dia tidak boleh dipilih tanpa parti. Buat pertama kali dalam sejarah kita, kita dipimpin oleh bukan pemimpin parti,” kata Shafie.

Shafie berkata kini menjadi hak prerogatif ketua negeri untuk memutuskan sama ada Hajiji masih mempunyai sokongan dan locus standi untuk kekal sebagai KM.

“Bukan saya nak suruh dia berundur. Tetapi undang-undang (adalah) jelas di sini,” kata Shafie.

Shafie turut menafikan spekulasi mengenai sebarang rampasan kuasa dan berkata hujah itu berdasarkan undang-undang semata-mata.

“Saya bersimpati dengan mereka yang mengatakan mereka sudah bosan berpolitik. Tetapi ini adalah undang-undang, dan yang salah adalah salah,” katanya.

Menjauhkan diri daripada cubaan yang dikatakan gagal untuk menumbangkan Hajiji Khamis lalu, Shafie berkata bahawa pergeseran antara GRS dan Barisan Nasional (BN) Sabah telah berlaku sejak sekian lama dan beberapa siri peristiwa, termasuk langkah Hajiji meninggalkan Bersatu, memuncak pada malam tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau telah berjumpa dengan wakil UMNO untuk membincangkan perkembangan terkini, Shafie tidak menjawab soalan itu secara langsung tetapi berkata Warisan terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja mengenai cara menyelesaikan krisis di Sabah.

“Kita lihat bagaimana keadaannya. Tapi kita ikut undang-undang. Jika tidak, kami akan melalui jalan yang sama sekali lagi,” katanya.

“Saya sudah katakan pada awal bahawa parti yang mempunyai kerusi terbanyak harus memegang jawatan itu. Warisan mempunyai kerusi terbanyak. DAP juga telah berdiri di atas tiket Warisan. Jadi kita sepatutnya mengikut undang-undang sebelum ini juga.”

Berita berkaitan
MUDA kecil hati tak dijemput ke mesyuarat di pejabat UMNO, tapi logo di poster ada
22 minit lalu· Politik
Jangan tunduk dengan pekebun haram Musang King disokong DAP, kata Pemuda PAS Pahang
39 minit lalu· Isu semasa
Kemiskinan berleluasa, ketidakstabilan ekonomi akibat rasuah
7 jam lalu· Isu semasa
1MDB: Pendakwaan tarik balik rayuan lucut hak, wang UMNO disita dipulangkan
18 jam lalu· Isu semasa
Popular
KJ, Annuar, Noh bakal sertai PAS?
February 7, 2023
PH, BN bergabung hadapi PRN
February 8, 2023
Sertai Bersatu, tawan Selangor atau Negeri Sembilan, KJ boleh jadi MB
February 8, 2023
MT tolak maklumat agensi kata UMNO kalah jika PRU-15 awal
February 8, 2023
Lagi Politik terkini
Kerajaan UMNO-DAP Pahang teruskan agenda ‘dendam politik’
42 minit lalu · Politik
MT tolak maklumat agensi kata UMNO kalah jika PRU-15 awal
1 jam lalu · Politik
Polis langgar undang-undang tolak aduan wanita seluar pendek: ADUN DAP
3 jam lalu · Politik
Sertai Bersatu, tawan Selangor atau Negeri Sembilan, KJ boleh jadi MB
4 jam lalu · Politik
PH, BN bergabung hadapi PRN
14 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Kedah buru sindiket jual tanah, penerima geran jangan tamak
7 jam lalu
[VIDEO] 505 peneroka Pendang akan terima geran tanah
9 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok