Warisan masuk Semenanjung, Shafie umum jadi calon PM bakal cabar Anwar

Datuk Seri Shafie Apdal menawarkan kepada rakyat “akan menjadi Perdana Menteri untuk semua” sekiranya parti dipimpinnya, Warisan dipilih pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti, sekaligus memberi isyarat akan menjadi pencabar utama kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan nombor satu itu.

Presiden Warisan itu mengumumkan secara rasmi kemasukkan parti tersebut ke Semenanjung, malah berjanji mereka akan memperjuangkan parti pelbagai kaum dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu bangsa seperti parti yang disertainya sebelum ini.

“Kita bawakan kepelbagaian merentasi agama, etnik, makanan dan tradisi.

“Kita perlu bermula hari ini, tidak boleh lagi tunggu esok atau minggu depan atau tahun depan,” katanya dalam satu majlis pelancaran hari ini di Kuala Lumpur.

Warisan merupakan salah satu parti pembangkang yang tidak menyertai blok, Pakatan Harapan (PH), pengumuman tersebut secara tidak langsung memberi isyarat Warisan akan menjadi pencabar utama kepada PKR, parti dipimpin Anwar yang juga terdiri daripada latar belakang berbilang kaum.

Untuk rekod, PH sebelum ini menamakan Anwar sebagai calon PM mereka jika berjaya memenangi PRU.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, sudah tiba masanya rakyat melakukan perubahan dalam landskap politik negara dengan menumpukan kesepaduan semua kaum.

Katanya, walaupun negara sudah mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun, rakyat Malaysia masih lagi terpisah dengan jurang yang sangat jauh.

“Tanpa UMNO, Melayu tidak akan mati. Orang Islam tidak akan mati tanpa PAS dan orang Cina tidak akan mati tanpa DAP,” katanya.

Beliau berkata, ketika Dr Mahathir Mohamad ingin menubuhkan Bersatu, bekas PM itu menawarkan untuknya menyertai parti itu namun beliau terpaksa menolaknya kerana tidak mahu terus terikat dengan parti berasaskan kaum.

“Ketika Bersatu mahu dibentuk, Tun (Mahathir) ada tawarkan saya sertai Bersatu tetapi saya kata Tun… cukuplah untuk parti berasaskan kaum, saya mahu tubuhkan parti pelbagai kaum dengan pasukan saya dan parti itu akan bermula dari Sabah,” katanya.

Terdahulu, semasa krisis politik dicetuskan oleh Anwar yang berkomplot dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin, Shafie juga bercita-cita untuk menjadi calon PM dan membuat tawaran secara terbuka sekiranya Anwar gagal mendapat majoriti dan beliau mendapat majoriti, sepatutnya dirinya dilantik bagi jawatan nombor satu itu.

Bagaimanapun, Anwar dan Shafie masing-masing gagal mendapat majoriti yang diperlukan untuk menjadi PM.

BERITA BERKAIT
POPULAR