
Parti Warisan.
Kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang sangat diharapkan Parti Warisan.
Naib Presiden Warisan Datuk Jaujan Sambakong tidak menolak langkah untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN selain Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi memastikan keadaan politik di Sabah stabil.
“Mudah-mudahan jadi realiti (kerjasama dengan BN dan KDM). Apa yang penting untuk menstabilkan politik di Sabah dan memastikan nasib rakyat dibela.
“Seperti Datuk Seri (Shafie Apdal) katakan, kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama demi rakyat, kalau itu yang penting untuk rakyat, kenapa tidak untuk pilihan raya akan datang,” katanya dipetik laporan BH.
Jaujan ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Sabah hari ini.
Majlis yang dihadiri Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu turut dihadiri pemimpin Warisan dan KDM.
KDM diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda.
Spekulasi mengenai kerjasama Warisan dan UMNO serta KDM bermula ketika kemelut politik Sabah berkaitan cubaan menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Januari lalu.
Ketiga-tiga parti menyatakan pendirian yang sama bahawa Hajiji hilang kelayakan menjadi Ketua Menteri selepas mengumumkan keluar daripada Bersatu pada akhir tahun lalu.
Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila Hajiji mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk daripada UMNO dan Warisan yang mengumumkan keluar parti pada Januari dan Februari lalu.