
Parti Warisan.
Parti yang diasaskan dari Sabah, Warisan sudah mengenal pasti kerusi yang mampu dimenangi di Negeri Sembilan dan bakal meletak calon mereka pada pilihan raya umum ke-15 nanti.
Sebanyak empat kerusi Parlimen dan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal diletak calon daripada Warisan, kata Pengerusi negeri, Datuk Azman Idriz.
“Jumlah kerusi akan ditandingi di Negeri Sembilan akan diputuskan pada majlis tertinggi parti, namun setakat ini gambaran awal adalah empat kerusi Parlimen dan 20 kerusi DUN.
“Namun kerusi berkenaan belum boleh didedahkan kerana ia akan ditentukan kepemimpinan peringkat tertinggi, tetapi kita akan fokus di kerusi yang memerlukan kita,” katanya dipetik laporan media.
Jumlah sasaran itu disifatkan Azman sebagai realistik memandangkan jumlah kerusi akan ditandinginya itu memadai dan memberi peluang rakyat untuk memilih pemimpin diperlukan mereka.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi 1, K Kannis dan Timbalan Pengerusi 2, Datuk James Wong Tze Wei.
Azman berkata, setakat ini terdapat 25 cawangan Warisan di Negeri Sembilan membabitkan kira-kira 2,000 ahli.
Beliau berkata, walaupun Warisan dilihat lebih tertumpu di Sabah, namun banyak parti lain juga ada di Sabah termasuk UMNO dan pihaknya yakin parti ini dapat diterima rakyat di Semenanjung kerana ia ditubuhkan di Kuala Lumpur.
“Sebab itu, Wwarisan cuba melebarkan sayap ke Semenanjung, kita membawa konsep berbilang kaum dan etnik dengan keahlian juga membabitkan pelbagai peringkat umur termasuk golongan muda dan wanita,” katanya lagi.
Mengulas peluang Wwarisan di Negeri Sembilan, Azman berkata, pihaknya yakin parti itu mampu melangkah jauh, malah penerimaan baik termasuk dalam kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke dalam Warisan memperkuatkan parti dalam menghadapi PRU-15.
“Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dijadual melancarkan secara rasmi parti itu di negeri ini esok,” katanya.