
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Integriti Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang diuji. Adakah beliau seorang yang mengotakan kata-kata atau tidak?
Demikian dinyatakan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, sambil menjelaskan keperibadian Ismail Sabri amat berbeza daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta rakan baiknya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas berhubung isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang dibangkitkan baru-baru ini.
Terdahulu Ketua Penerangan UMNO Shahril Suffian Hamdan hari ini dilaporkan berkata tiada sebarang perjanjian untuk Ismail Sabri melantik TPM sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan PM.
Menurut Penasihat Ekonomi PM itu, jika benar perjanjian (pelantikan TPM) berkenaan wujud, mengapa ia baru dibangkitkan oleh sesetengah pihak ketika ini.
Malah, kata Shahril dilaporkan berkata pelantikan jawatan TPM tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pihak, termasuk PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, mengulas lanjut, Wan Saiful berkata kejujuran Shahril mungkin masih dipersoalkan kerana ada pihak yang menuduh beliau adalah ‘spy’ Zahid di pejabat PM.
“Nampaknya ada perkara yang PM belum cukup percaya untuk kongsi dengan Shahril.
“Yang menjadi saksi kepada perjanjian kesepakatan di sebelah Perdana Menteri ialah Tan Sri Annuar Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia),” katanya.
Menurutnya, perjanjian kesepakatan itu adalah satu “best practice” yang diukir oleh Ismail Sabri dan sememangnya menjadi kebiasaan di negara-negara yang demokrasinya lebih matang untuk mempunyai perjanjian bertulis bagi membentuk gabungan.
Wan Saiful berkata ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi PM, UMNO turut menghantar surat yang mengandungi senarai nama yang dicalonkan untuk pelbagai jawatan.
“Kami (Bersatu) tak ada pula kata UMNO gila kuasa sebab memang itulah “best practice” yang betul.
“Jadi macai-macai Zahid janganlah nak berlakon bodoh pula. Bila PN hantar senarai nama, itu memang perkara biasa. Dan bila PN merujuk kepada perjanjian kesepakatan, itu juga perkara biasa,” katanya.
Wan Saiful berkata memenuhi janji adalah elemen penting dalam hidup yang berintegriti dan sebab itu apabila UMNO menghantar senarai nama ketika Muhyiddin menjadi PM, beliau memenuhi janji untuk melantik mereka ke jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi dan Ahli Lembaga Agensi.
“Ini lambang akhlak dan integriti. Hari ini, berpuluh orang lantikan dari PN ditukar kepada UMNO walaupun perjanjian kesepakatan menggariskan sebaliknya.
“Ini bukan isu jawatan. Ini isu akhlak dan integriti. Kita mahu pemimpin beramanah dan berintegriti atau tidak?
“Saya tahu sebahagian pemimpin UMNO memandang mudah isu amanah dan integriti.
“Maklumlah, Zahid dan Najib, dua-dua ada masalah integriti yang boleh masuk sejarah dunia.
“Bila orang yang di atas tidak malu untuk berakhlak buruk, maka hilanglah sifat amanah dan integriti,” katanya.